PM fahami rakyat terkesan teruk akibat Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memahami bahawa ramai daripada rakyat yang merasa gusar, takut dan terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 sama ada dari segi fizikal mahupun emosi.

Perdana Menteri berkata, ada di antara rakyat yang kehilangan orang tersayang, berkurang punca pendapatan dan diselubungi keresahan yang berpanjangan.

“Namun kita jangan sekali-kali mengalah. Kita perlu terus berjuang, bersatu hati dan tenaga dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini bersama-sama sebagai sebuah bangsa Malaysia yang cekal dan berhati kental.

- Advertisement -

“Saya berjanji kerajaan akan terus membantu sedaya mampu, tanpa pernah putus berusaha dan berikhtiar, supaya dapat bersama-sama kita keluar daripada kemelut pandemik ini secepat mungkin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen petang tadi.

Muhyiddin berkata pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 merangkumi empat fasa yang akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Sehubungan itu, katanya kepada mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, segeralah berbuat demikian di aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, sehingga kini, jumlah mereka yang telah berdaftar adalah seramai 13.8 juta.

“Sasaran kita adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 26 juta populasi di Malaysia diberi vaksin menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok.

“Sementara itu, kita mestilah terus bersabar dan berdisiplin. Amalkan disiplin kendiri yang tinggi walaupun sudah divaksinasi,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan rakyat supaya memakai pelitup muka di tempat awam, mengelakkan berada di tempat sesak, membasuh tangan sentiasa dan memastikan sentiasa berada di ruang yang mempunyai pengudaraan yang baik.

“Lebih tinggi disiplin kita menjaga SOP, lebih cepat kes-kes harian Covid-19 turun, lebih ramai daripada kita mendapat suntikan vaksin, insya-Allah lebih cepatlah kita mencapai imuniti kelompok dan dengan izin Allah SWT kita akan dapat keluar daripada krisis yang sedang kita hadapi ini bersama-sama.

“Akhirnya, kepada Allah jualah kita memohon pertolongan dan Dialah sebaik-baik pelindung,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -