Pengayuh beca, pemandu bot penambang terima elaun

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengayuh beca dan pemandu bot penambang di negeri ini akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 bermula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif kerajaan negeri itu berikutan kesan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap golongan terbabit.

Katanya, sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada 57 pengayuh beca dan 18 pemandu bot yang telah direkodkan.

- Advertisement -

“Bantuan berjumlah RM15,000 sebulan yang akan berjalan sehingga Disember nanti itu juga bertujuan untuk mengekalkan nostalgia dan nilai warisan pelancongan negeri yang dibawa oleh mereka.

“Fokus sekarang adalah bagi mengenalpasti jumlah sebenar mereka yang beroperasi dalam sektor ini kerana sesetengah kalangan penggiat berumur lebih daripada 80 tahun, Insya-Allah kita akan perincikan kembali data senarai tersebut.

“Saya turut menyarankan kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya,” katanya ketika ditemubual di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak.

Tambah Ariffin, beliau turut berterima kasih kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab yang sentiasa berhubung dengan pihaknya bagi menyalurkan maklumat berkait nasib golongan itu.

Pada masa yang sama, Ariffin turut menyampaikan bantuan RM2,000 dan barangan keperluan harian kepada 10 wakil penarik beca dan persatuan bot penamban.

Untuk rekod, pada awal bulan ini, pengayuh beca dan pemandu bot penambang telah menerima elaun bulanan sebanyak RM300 seorang daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Ketengah berkata, pembayaran elaun khas selama tiga bulan itu bertujuan meringankan bebanan mereka yang terkesan susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

“Golongan ini adalah ikon kepada sektor pelancongan di Terengganu dan khidmat mereka perlu dihargai.

“Kebanyakan pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang berusia antara 70 tahun dan 85 tahun menghadapi kesukaran mencari rezeki berikutan ketiadaan pelanggan,” jelasnya. – TRDI.my

- Advertisement -