Pemulihan negara: Sidang Parlimen pada Sept atau Okt

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan komitmen bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa Ketiga Pemulihan Negara iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok,” ujarnya ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen, petang ini.

Katanya, beliau akan terus mendukung prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

- Advertisement -

“Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama Kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, bagi fasa ketiga (September – Oktober), semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19 yang masih ditutup.

Jelasnya, fasa itu boleh digerakkan sekiranya Malaysia berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada pada tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini, katanya.

Tambahnya, pada fasa ketiga semua sektor ekonomi akan dibenar beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian.

Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti fasa kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat, ujarnya.

Muhyiddin berkata di bawah fasa ketiga, semua aktiviti pembuatan akan dibenar beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan had kapasiti.

Senarai negatif yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan.

Namun, kata beliau kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya divaksinasi. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -