Kesatuan sebagai solusi pembebasan Baitulmaqdis

- Advertisement -

“SEJARAH itu berulang dengan sendirinya,” demikian ungkapan pepatah Arab. Sejarah sepatutnya memberi pengajaran untuk kita teladani dan mengambil iktibar. Sejarah mencatatkan bahawa perpecahan umat Islam berlaku selepas wafatnya Rasulullah S.A.W pada tahun ke-11 Hijrah dan bermulanya peristiwa Riddah iaitu ramai yang keluar dari agama Islam.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila muncul Nabi-nabi palsu seperti Musailamah bin Tsumamah al-Kazzab, Abhalah bin Kaab al-‘Ansi dan lain-lain. Dalam kalangan mereka yang tidak mengisytiharkan keluar daripada agama Islam, terdapat pula golongan yang enggan membayar zakat. 

- Advertisement -

Kesemua ini dihadapi oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq R.A yang baru dilantik menggantikan tempat Rasulullah S.A.W sebagai ketua negara. Berlaku beberapa siri peperangan yang mengorbankan ramai para Sahabat R.A ketika menentang golongan yang sesat itu kesemuanya.

Setelah masalah dalaman umat Islam ini selesai dan bertaut semula kesatuan umat, maka di bawah pimpinan Khalifah Umar bin al-Khattab R.A berlakulah pembukaan Kota Baitulmaqdis pada tahun ke-15 Hijrah (637 Masihi). Khalifah Umar R.A datang sendiri ke Syam untuk menerima penyerahan kunci kota suci tersebut daripada Ketua Gereja Jerusalem, Patriach Sophronius.

Setelah memasuki tanah suci itu, Khalifah Umar R.A telah mewakafkan kota Baitulmaqdis termasuk dataran Masjid al-Aqsa kepada seluruh umat Islam. Ini bermakna menjadi tanggungjawab setiap Muslim di seluruh dunia untuk mempertahankannya daripada sebarang pencerobohan dan penaklukan.

Setelah berlalu kira-kira 400 tahun, umat Islam berpecah lagi. Kali ini perpecahan kepada aliran-aliran akidah, pemikiran, falsafah hatta perkara-perkara yang ranting dalam bidang fiqh. Berlaku perebutan kuasa, lalu wilayah-wilayah Islam dikenali mengikut aliran-aliran tertentu, bahkan dapat dikenal pasti melalui seruan azan di corong-corong menara masjid. Suasana ini memberi laluan mudah kepada Tentera Salib menakluki Jerusalem pada tahun 1099 Masihi dan Masjid al-Aqsa jatuh ke tangan musuh-musuh Islam.

Tak lama setelah itu muncul tokoh yang namanya sehingga kini terpahat dalam sejarah di Timur dan Barat, iaitu Sultan Salahuddin al-Ayyubi R.H atau dikenali sebagai Saladin dalam dunia Barat. Sultan Salahuddin memulakan langkahnya untuk membebaskan Baitulmaqdis dengan menyatukan umat Islam yang berpecah. Baginda yang berketurunan bangsa Kurdi telah menyatukan kabilah-kabilah Arab dan kuasa-kuasa Islam yang berpecah selepas keruntuhan Bani Abbasiyah.

Dengan kesatuan umat Islam ini, mereka mara menggempur Tentera Salib dalam Perang Hittin seterusnya membebaskan semula Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa pada tahun 1187 Masihi. Tanah suci yang diwakafkan oleh Khalifah Umar R.A telah berjaya ditebus kembali. Bumi Palestin berada di bawah pemerintahan Islam sehinggalah runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Berlaku perpecahan wilayah-wilayah Islam kepada negara-negara kecil, perpecahan inilah yang mewujudkan apa yang dipanggil sebagai negara-negara bangsa (nation states).

Pada tahun 15 Mei 1948, negara haram Israel diisytiharkan di atas titisan darah dan air mata bangsa Palestin. Malapetaka ini disebut sebagai Peristiwa Nakbah. Tiada lagi pembelaan dari Khilafah Islamiyyah, tiada negara-negara Arab yang datang membantu sehingga berlaku peluasan wilayah jajahan selama hampir 20 tahun dan pencerobohan Baitulmaqdis pada tahun 1967.

Negara-negara Arab bangkit atas nama perkauman berperang ibarat melepaskan batuk di tangga. Dalam tempoh hanya 6 hari, tentera Israel mengisytiharkan mereka telah mengalahkan pakatan tentera negara-negara Arab. Peristiwa yang memalukan itu dikenali sebagai Naksah.

Kini keadaan tidak banyak berubah, umat Islam masih berpecah. Lebih buruk terdapat negara-negara Arab dan umat Islam yang mengikut telunjuk sekutu negara haram Israel iaitu Amerika Syarikat. Berlaku proses normalisasi untuk mengiktiraf dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Kempen Penyelesaian Dua Negara (Two States Solution) untuk melobi kepentingan hubungan dagangan dan jaminan keamanan di rantau Timur Tengah. Pemimpin-pemimpin umat Islam terus bertelingkah dan berpecah.

Sekiranya pepatah Arab berbunyi ‘Sejarah itu berulang dengan sendirinya’, maka jalan untuk mengembalikan sejarah pembebasan bumi Palestin hanyalah dengan kesatuan sebagaimana zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab R.A dan Sultan Salahuddin al-Ayyubi R.H. 

Negara-negara Arab dan umat Islam mesti bergerak ke arah kesatuan sebagai solusi kepada masalah politik dan maruah agama yang tercalar selama lebih 70 tahun sehingga kini.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -