Hutan Simpanan Kekal Chini akan diperluas

- Advertisement -

KUANTAN: Keluasan Hutan Simpanan Kekal Chini, Pekan akan diperluas daripada 4,600 hektar kepada 6,000 hingga 7,000 hektar, seperti yang disarankan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Perhutanan negeri telah diminta mengambil tindakan segera, bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya menguruskan soal pewartaan.

- Advertisement -

Menurut beliau, peluasan berkenaan wajar sekali gus dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi memelihara dan memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini, yang mana luas badan airnya sahaja antara 200 hektar dan 700 hektar mengikut musim.

“Peluasan ini juga dapat memberi keberkesanan lebih tinggi, kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program Man and Biosphere UNESCO, telah diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia, berlandaskan tiga teras utama yang berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem termasuk spesies dan hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran, serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat.

“Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, TCRB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan, dengan fungsinya yang bebeza, malah dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar seperti titah saranan Tengku Hassanal, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga akan berusaha untuk menyegerakan kerja-kerja penanaman semula, dengan memperuntukkan RM10 juta lagi bagi penanaman semula hutan dan setakat ini sebanyak RM250,000 telah dibelanjakan untuk aktiviti itu.

Selain itu katanya, aktiviti penguatkuasaan akan terus diperkasakan termasuk pemantauan menggunakan teknologi ‘Light Detection Radar’ (LIDAR), yang akan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi-agensi penguaktkuasaan negeri dan persekutuan.

Semalam, Tengku Hassanal menitahkan supaya kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar, bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini serta persekitarannya. – BERNAMA

- Advertisement -