Aid4Palestine: PAS Kedah kumpul RM445,000 fasa kedua

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Sejumlah RM445,000 berjaya dikumpul PAS Kedah untuk sumbangan Aid4Palestine fasa kedua.

Gimik penyerahan kepada PASRelief diadakan dalam satu majlis secara di atas talian, malam semalam.

Menurut Pesuruhjayanya Senator Ahmad Yahaya, jumlah keseluruhan yang disumbang oleh PAS negeri sebanyak RM2,092,557.10 melibatkan fasa satu dan dua.

- Advertisement -

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua para penyumbang. Ini adalah bukti keprihatinan serta rasa kebersamaan kita kepada saudara kita di bumi Palestin,” ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Katanya seperti fasa pertama sebelum ini, sumbangan kali ini juga mensasarkan kutipan dari PAS kawasan seluruh Kedah termasuk dewan-dewan.

Sungguhpun katanya derma Aid4Palestine ini dilancarkan sebanyak dua fasa namun ahli-ahli PAS dan orang ramai tetap menyahut seruan demi kesejahteraan rakyat negara itu.

“Semua hasil kutipan sudah diserahkan kepada PAS Relief untuk disalurkan kepada saudara kita di Palestin.

“Mudah-mudahan dengan sumbangan ini dapat membantu membangunkan semula keperluan mereka di sana yang telah musnah akibat kekejaman rejim Israel,” tambahnya.

Justeru itu, Ahmad mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua pimpinan PAS Kedah, Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) serta PAS kawasan-kawasan yang menggerakkan kutipan.

“Hanya Allah yang layak memberi ganjaran” katanya lagi.

Sebelum ini, PAS Kedah berjaya menyerahkan sejumlah RM1,647,557.10 sumbangan Aid4Palestine fasa pertama kepada Pengerusi PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor di kediaman rasmi Seri Mentaloon sempena Majlis Penyerahan Aid4Palestine yang dilancarkan secara di atas talian. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -