Warga asing: Salah siapa? (Bah.1)

- Advertisement -

KITA sering mendengar aduan mengenai warga asing. Sama ada mereka yang tinggal berjiran dengan mereka atau yang terpaksa bersaing dengan mereka terutamanya di dalam perniagaan atau pekerjaan. Walau bagaimanapun perlu dijelaskan siapakah warga asing ini.

Mungkin mereka yang diklasifikasikan sebagai Pendatang Tanpa Izin atau PATI yang masuk ke negara kita secara haram. Atau mungkin mereka yang mempunyai kebenaran menetap dan bekerja di negara ini. Mungkin juga mereka adalah pelarian kerana nyawa mereka terancam atau telah berlaku bencana besar di negara mereka. Ada pula di antara mereka yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Barsatu Untuk Pelarian (United Nations High Commissioner for Refugees atau UNHCR). 

- Advertisement -

Terdapat juga di antara kita yang tersilap apabila melabel mereka sebagai warga asing walhal mereka telah menjadi rakyat Malaysia. Sama ada mereka sendiri telah diberikan kerakyatan atau mereka adalah generasi kedua warga asing yang lahir di negara ini dan telah menjadi warganegara. Tetapi kerana mereka masih tinggal bersama kelompok mereka dan kekal dengan bahasa atau loghat asli mereka maka mereka tetap dilabel sebagai warga asing. Walhal ada di antara mereka yang telah bersekolah di sini, masuk ke Universiti di sini malah menjadi bekerja dengan kerajaan.

Kebanyakan rakyat Malaysia hari ini tidak bersifat perkauman terhadap orang luar. Jika kita menyingkap sejarah negara kita, negara kita telah menerima pendatang-pendatang dari China dan India ketika zaman penjajah. Ramai juga yang datang dari Kepulauan Melayu Nusantara seperti orang-orang Jawa, Minang, Bawean, Banjar dan Bugis kerana mereka adalah serumpun dengan agama yang sama dan bahasa dan budaya yang hampir serupa. Hanya percaturan penjajah Inggeris dan Belanda yang telah memisahkan kita dan mereka.

Walau bagaimanapun masalah hari ini timbul apabila berlaku pertentangan budaya atau cara hidup. Kadang kala perkara kecil pun boleh mencetuskan pergaduhan. Contohnya terdapat rungutan mengenai bangsa Rohingya yang kerap meludah sirih merata-rata seperti ke lantai dan ke dinding sehingga penuh dengan tompok-tompok merah. Pernah tercetus konflik apabila sirih ini terkena seorang penduduk tempatan.

Saya juga pernah menerima aduan mengenai kafe kepunyaan warga dari Afrika di sebuah pangsapuri di Kajang yang menjadi tempat mereka berkumpul dan membuat bising hingga ke larut malam. Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak dapat menghalang mereka maka terpaksalah saya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor ketika itu bercakap dengan mereka. Tetapi mungkin pemegang lesen adalah warga tempatan dan perniagaan itu dijalankan oleh warga asing. Ini adalah modus operandi biasa mereka.

Justeru itu masalah akan timbul jika berlaku pertembungan budaya atau cara hidup yang berbeza. Adakah ini berlaku disebabkan kejahilan atau sikap angkuh dan enggan menghormati budaya tempatan? Saya pernah mencadangkan pelarian bangsa Rohingya yang tinggal di Pandan Mewah, Selangor diberikan kursus mengenai budaya dan cara hidup penduduk tempatan. Ketika itu saya adalah ADUN bagi kawasan tersebut dan saya yakin ia dapat menyelesaikan pertembungan budaya kerana saya melihat warga asing dapat menyesuaikan diri apabila berada di masjid atau surau kerana memahami kehendak-kehendak agama Islam. Malah terdapat warga Rohingya yang membayar bil elektrik surau hasil aktiviti menjual besi buruk mereka.

Dalam bidang perniagaan juga terdapat pertembungan di antara warga tempatan dan warga asing. Terdapat kawasan-kawasan yang seolah-olah dimonopoli oleh warga asing. Malah di pasar-pasar malam di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga terdapat aduan. Walaupun terdapat peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri namun masih terdapat peniaga tempatan yang tidak berpuas hati dengan sikap peniaga warga asing yang tidak mematuhi peraturan. Saya juga pernah menerima aduan dari seorang pengusaha bengkel warga tempatan yang mendakwa PBT lebih menyebelahi warga asing dari beliau.

Terdapat juga warga-warga asing ini yang mempunyai kepakaran yang membolehkan mereka membuka perniagaan yang dapat mengatasi penduduk tempatan. Ada yang membuka kedai jahit bukan sekadar kecil-kecilan tetapi yang dapat mengatasi kedai-kedai warga tempatan. Ada yang menguasai bidang IT dan membuka kedai komputer. Ada pula yang membuka bengkel kereta, bengkel perabot dan bengkel tingkap aluminium. Pendek kata mereka boleh melakukan apa sahaja dan ada yang dapat melakukannya lebih baik dari warga tempatan.

Tetapi siapa yang perlu disalahkan? Kita tidak boleh menyalahkan mereka untuk berusaha. Kerajaan yang telah membenarkan mereka masuk dan ada pula yang mengaut keuntungan besar. Kita juga tidak boleh menyalahkan rakyat negara ini. Rakyat tempatan mempunyai banyak komitmen, seperti membayar balik pelbagai pinjaman seperti pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan atau pinjaman PTPTN maka sudah tentu perkhidmatan atau produk yang mereka tawarkan telah mengambil kira komitmen tersebut. 

Terdapat 2 cara hidup yang berbeza yang menyebabkan ramai warga tempatan tidak dapat bersaing. Adakah kita mahu rakyat kita mengubah cara hidup? Adakah kita mahu mereka tinggal 2 atau 3 keluarga serumah? Atau meninggalkan anak isteri mereka di kampung seperti warga asing yang meninggalkan anak isteri di negara asal mereka? Saya biasa melihat pekerja asing yang hanya makan nasi dan kuah kosong di kedai. Saya juga biasa melihat pekerja-pekerja asing di rumah kongsi makan nasi berlauk lada kering dan bawang. Adakah kita mahu rakyat tempatan mengamalkan gaya hidup yang sama?

Terdapat persepsi bahawa warga asing adalah lebih rajin. Ada yang boleh bekerja dari siang hingga ke malam. Ada yang tidak pernah mengambil cuti untuk beberapa tahun. Walhal rakyat tempatan kadang-kala perlu datang lambat untuk menguruskan persekolahan anak atau terdapat anak yang sakit. Sekali-sekala mereka perlu balik ke kampung untuk menguruskan ibu bapa yang telah tua atau kebun-kebun yang diwarisi. Adalah tidak adil untuk melabelkan pekerja tempatan sebagai tidak boleh diharapkan kerana ini. 

Sebagai rakyat negara ini sudah tentu perlu ada kelebihan dan keutamaan yang diberikan kepada mereka. Jika rakyat tempatan dan warga asing memiliki peluang yang sama maka apa guna mereka menjadi rakyat negara ini? Adakah kita mahu mereka pula menjadi pelarian? Kita bukan mahu menindas warga asing atau bersikap perkauman tetapi hari ini seolah-olah rakyat tempatan yang ditindas dan menjadi mangsa perkauman. 

Saingan yang dihadapi oleh rakyat tempatan adalah diwujudkan oleh kita sendiri. Kita tidak boleh menyalahkan warga asing. Kerajaan dengan kesungguhan politik boleh menyelesaikannya. Tetapi mereka terlebih dahulu perlu memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat. Statistik sahaja tidak dapat memberikan gambaran yang sebenar. Cubalah tinggal di flat kos rendah atau berniaga di pasar malam.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -