Vaksinasi dari rumah ke rumah jejaki OKU

Datuk Dr Zaini Hussin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ruang komentar Oghe Kito dalam Harakah pernah mencadangkan kerajaan mengerahkan petugas Jabatan Kesihatan keluar masuk kampung bagi memperluaskan program vaksinasi.

Kaedah serupa yang digunakan petugas Pejabat Kesihatan bagi menangani wabak denggi dengan mengedarkan risalah di kawasan berlaku kes demam denggi boleh dipraktikkan.

Skuad Pejabat Kesihatan Daerah menemui penduduk di kawasan wabak. Ia ternyata berkesan membasmi nyamuk aedes.

- Advertisement -

Begitu juga program vaksinasi boleh diperluakan dengan petugas Jabatan Kesihatan dan sukarela memasuki kampung bagi menyuntik vaksin Covid-19 terhadap penduduk yang dilakukan secara berkelompok.

Idea itu hari ini diketengahkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) yang dijangka melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah menjelang September atau Oktober ini.

Pengarah JKNK Dato’ Dr Zaini Hussin berkata pihaknya bercadang memulakan kaedah vaksinasi dari rumah ke rumah setelah selesai proses melalui pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan PPV sementara sedia ada.

“Sekiranya, program outreach dapat diselesaikan dengan cepat kita akan memulakan pemberian vaksin dari rumah ke rumah untuk Orang Kurang Upaya (OKU), terlantar dan sebagainya menjelang September atau Oktober depan jika tiada masalah bekalan vaksin,” katanya kepada Bernama.

Dr Zaini juga berkata pemberian vaksin dari rumah ke rumah akan melibatkan jumlah petugas yang banyak membabitkan jururawat, pemandu dan lain-lain untuk menjejaki setiap rumah penduduk.

Menurutnya juga sehingga sekarang seramai 145,447 individu menerima dos pertama vaksin di Kelantan, manakala 64,943 selesai dos kedua di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -