Terpenting adil: Sistem khilafah atau beraja?

- Advertisement -

BERPOLITIK atau adanya pemerintah bagi mentadbir makhluk yang bermasyarakat adalah menjadi ketetapan Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui lagi Maha Adil dan Rahmat terhadap makhluk-Nya.

Adapun ungkapan bahawa politik itu kotor merupakan pemikiran yang diciptakan oleh penjajah, supaya mereka sahaja yang berhak untuk memerintah sekalipun berlaku zalim.

Al-Quran memaparkan dua sistem pemerintahan negara, iaitu sistem khilafah yang dipilih secara syura oleh rakyat atau wakilnya dan juga sistem beraja yang dipilih secara warisan (berdasarkan keturunan).

Nabi Adam AS dan Nabi Daud AS ialah Khalifah, adapun Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain ialah Raja. Mereka semua dipuji oleh Allah SWT dalam al-Quran kerana berlaku adil dan sentiasa bersyukur kepada-Nya.

- Advertisement -

Nabi Adam AS dipilih oleh Allah SWT menjadi Khalifah, maka berlakulah dialog antara Allah SWT dan para malaikat yang meminta penjelasan daripada-Nya:

﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠ وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ٣١ قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ٣٢ قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ٣٣﴾

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.’ Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ‘Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’. Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kalian tidak ketahui.’ (30);

“Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan kegunaannya, kemudian ditunjukkan kepada malaikat, lalu Dia berfirman: ‘Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kalian golongan yang benar.’ (31);

“Malaikat itu menjawab: ‘Maha suci Engkau (wahai Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.’ (32);

“Allah berfirman: ‘Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.’ Maka, setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: ‘Bukankah Aku telah katakan kepada kalian, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kalian nyatakan dan apa yang kalian sembunyikan?’. (33).” (Surah al-Baqarah: 30-33)

Allah yang Maha Berkuasa dengan rahmat-Nya memberikan peluang kepada para malaikat untuk bertanya dan meminta penjelasan. Allah SWT menjelaskan kepada para malaikat yang merupakan makhluk-Nya yang paling taat, bahawa kelayakan Nabi Adam AS untuk menjadi Khalifah kerana memiliki ilmu, suatu perkara yang tiada pada para malaikat yang mulia itu.

Firman Allah SWT:

﴿وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُودَ وَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنْطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْفَضْلُ الْمُبِينُ١٦﴾

“Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: ‘Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit daripada tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (daripada Allah) yang jelas nyata.” (Surah al-Naml: 16)

Nabi Sulaiman AS pula dilantik menjadi raja secara warisan selepas kewafatan ayahandanya, Nabi Daud AS. Hal ini demikian kerana, Baginda AS mempunyai ilmu, berakhlak mulia dan mempunyai iman yang ikhlas kepada Allah SWT.

Allah SWT menolak dengan keras pemerintahan yang zalim oleh raja zalim seperti Firaun yang berlagak menjadi tuhan. Allah SWT juga menolak sistem pemerintahan yang berkuasa mutlak, walaupun atas nama agama yang telah disalahgunakan seperti sistem teokrasi. Sistem tersebut memberikan kuasa ‘dictatorship’ (kuasa mutlak) kepada para agamawan yang terhormat, tetapi mereka menyalahgunakan agama untuk menipu rakyat. Firman Allah SWT:

﴿اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ٣١﴾

“Mereka menjadikan para pendeta dan pra rahib mereka sebagai tuhan selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih (Nabi ‘Isa) putera Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.” (Surah al-Taubah: 31)

Firman Allah SWT:

﴿قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ٦٤﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai aAhli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kalian, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak menyekutukan dengan-Nya sesuatu jua apapun; dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan selain daripada Allah.’ Kemudian, jika mereka (ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya), maka katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah kalian bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.’” (Surah Ali ‘Imran: 64)

Sejarah keemasan Islam memaparkan pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, mencatatkan para Khalifah itu dipilih melalui proses syura oleh rakyat secara langsung. Pada zaman Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul Aziz pula, beliau dipilih menjadi Khalifah mengikut sistem beraja.

Kita menyaksikan dalam dunia moden seperti negara komunis dan negara sosialis yang meletakkan jenama demokrasi kepada negara mereka atas nama rakyat tertindas, tetapi kelompok para pemimpin tertinggi mengamalkan pemerintahan bercorak kuku besi kerana mereka memisahkan urusan pemerintahan daripada agama atau menolak ajaran agama. Kini, negara tersebut sudah lupus, khususnya setelah keruntuhan Kesatuan Soviet (Soviet Union) pada tahun 1991 yang kemudiannya berubah kepada pengamalan sistem liberal.

Selain itu, kita juga menyaksikan hari ini bagaimana demokrasi Barat sedang jatuh merudum, apabila negara mereka dibejati dengan rasuah, politik wang, mafia, kongsi gelap, samseng dan sebagainya. Sehingga keadaan tersebut menyebabkan mereka bertindak memaksa dan menipu rakyat, kerana politik yang diamalkan itu berpisah daripada panduan agama.

Islam memperkenalkan penglibatan semua rakyat termasuklah daripada kalangan kaum wanita dalam peristiwa Baiah al-‘Aqabah yang kedua. Perjanjian tersebut menjadi asas kepada penubuhan negara Nabawiah di Madinah yang menjadi model dan petunjuk Allah SWT, sekali gus mewujudkan masyarakat Madani yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Selepas wafatnya Rasulullah SAW, pemimpin Islam dipilih secara syura (permesyuaratan rakyat) yang diwakili oleh para pemimpin dan orang yang berpengaruh dalam kalangan rakyat.

Apabila berlaku keadaan huru-hara sehingga tidak mampu diadakan syura, maka diperkenalkan pula sistem warisan (beraja). Pada peringkat awalnya, terlalu banyak kelemahan dalam pelaksanaan sistem tersebut. Namun begitu, kemunculan Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul Aziz berjaya menunjukkan betapa Islam adil kepada semua.

Pada zaman luasnya wilayah Islam yang melangkaui tiga benua, para ulama’ fiqh politik Islam kemudiannya memperkenalkan sistem raja berperlembagaan. Perkara tersebut dinyatakan secara khusus dalam banyak penulisan seperti Imam al-Haramain al-Juwaini, Imam al-Mawardi, Imam Abu Ya‘la al-Farra’, Ibn Khaldun dan lain-lain. Sehingga ilmu Islam sangat kaya dalam aspek pemerintahan negara yang luas, majmuk masyarakatnya dan ramai rajanya.

Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan Islam dapat dilaksanakan secara saksama selari dengan sistem menegakkan keadilan yang berpandukan petunjuk Allah SWT dan ajaran Rasul-Nya SAW. Sehingga agama Islam berkembang pesat dengan adil, bukannya melalui paksaan dan peperangan, khususnya di Nusantara.

Allah SWT menegaskan bahawa berlaku adil adalah suatu amanah yang paling besar dan diikat dengan sifat iman, wala’ (setia) dan taat.

Raja-raja, para ulama’ dan pemimpin masyarakat khususnya di negara kita menghadapi penjajahan yang getir dengan penuh kejahatan dan penipuan. Sehingga para penjajah mewujudkan masyarakat majmuk yang sengaja dibawa masuk ke dalam negara ini sebagai suatu masalah, laksana bom jangka pada masa hadapan.

Akan tetapi, keadaan tersebut dapat ditangani apabila penjajah memberikan kemerdekaan berserta perlembagaan yang fleksibel. Perlembagaan Persekutuan diberikan peluang dan ruang untuk diubah dan dipinda berteraskan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Raja Berperlembagaan dan Islam memimpin masyarakat majmuk. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58);

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah serta Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Hal yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya. (59).” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Ayat di atas menunjukkan bahawa konsep ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul adalah bersifat mutlak. Selain itu, dinyatakan tentang konsep syura yang berteraskan iman dan pelaksanaan hukum syariat yang adil.

Maka, mereka yang cuba merungkai sistem beraja wajib ditentang habis-habisan kerana mereka laksana makhluk perosak, tikus yang membaiki labu.

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Bertarikh: 3 Zulqa‘dah 1442 / 14 Jun 2021. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -