Pusat vaksin di masjid tingkat program vaksinasi

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU: Langkah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara di masjid, surau dan pondok dianggap langkah terbaik bagi meningkatkan program vaksinasi.

Anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, langkah itu dapat memudahkan semua penduduk datang untuk mendapatkan suntikan vaksin.

- Advertisement -

Katanya, masjid dan surau bukan sahaja sebagai tempat ibadat malah ia juga dijadikan lokasi aktiviti penduduk setempat sejak dahulu lagi.

“Masjid, surau dan pondok juga bukan tempat asing termasuk penduduk bukan Islam yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.

Wan Roslan
Wan Roslan Wan Hamat

“Malah sebelum ini pun acap kali premis masjid dijadikan tempat penyampaian bantuan kepada penduduk tempatan termasuk juga bukan Islam,” katanya.

Jabatan Kesihatan Kelantan mengambil inisiatif membuka PPV di masjid, surau dan pondok bagi memudahkan penduduk tempatan mendapatkan suntikan vaksin.

Pengarahnya Dato’ Dr Zaini Hussin memberitahu PPV di masjid tidak terhad hanya kepada penduduk Muslim sahaja.

Malah menurutnya terdapat sebanyak kira-kira 10 hingga 15 peratus penduduk non-Muslim turut hadir sama menerima suntikan vaksin di masjid.

Antara lokasi program tersebut iaitu Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian bagi memudahkan penduduk yang tinggal di kawasan itu mendapat suntikan vaksin.

Sebelum ini Jabatan Kesihatan Kelantan pernah mengadakan program ujian saringan vaksin komuniti di Masjid Sultan Muhammad II Telipot Kota Bharu.

Wan Roslan yang juga Adun Pengkalan Kubor berkata, kebanyakan masjid di Kelantan dilengkapi halaman yang luas boleh menampung kehadiran penduduk yang ramai.

Ahmad Fathan Mahmood

Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan Ustaz Ahmad Fathan Mahmood berkata, premis masjid dan pondok sesuai dijadikan sebagai lokasi vaksinasi dapat memperluaskan lagi program vaksinasi.

“Lebih-lebih lagi masjid yang terletak di kawasan pedalaman sesuai dijadikan tempat pemberian vaksin bagi memudahkan penduduk menerima suntikan vaksin.

“Penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman tentunya sukar untuk keluar ke bandar bagi menerima suntikan vaksin lebih-lebih lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 sekarang,” ujarnya yang juda Adun Chempaka. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -