Polis tahan lelaki rosak kawat berduri di lokasi PKPD

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR

TUMPAT: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan selepas mengaku merosakkan kawat berduri yang dipasang di Kampung Kutan Tengah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Suspek yang tinggal di rumah sewa di luar lokaliti PKPD itu ditahan pihak berkuasa pada 7 malam tadi sebaik sahaja pasukan pemantau melihat kelibatnya yang bermotosikal melalui lorong tikus itu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, lelaki itu yang dilihat mencurigakan kemudian ditahan pasukan petugas yang menjalankan tugas di sekitar lokasi tersebut.

- Advertisement -

Katanya, suspek terbabit mengaku mengalihkan dan memijak gelung kawat berduri yang diletakkan di kawasan tali air.

“Malah dia mengakui sudah beberapa kali melakukan pergerakan keluar masuk ke kawasan kampung berkenaan untuk ke rumah ibunya.

“Lelaki itu juga memberikan alasan berulang-alik dari rumah ibunya yang berada dalam kawasan PKPD ke rumah sewanya di luar lokaliti itu,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, hasil ujian saringan dibuat mendapati suspek turut positif methampethamine di samping mempunyai sembilan rekod lampau bersabit dadah dan jenayah.

Menurutnya lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) atas perbuatan khianat, Seksyen 269 dan Peraturan 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ab Rashid turut yakin ada lagi individu lain yang melakukan kerosakan terhadap kawat berduri yang dipasang di satu lagi lokasi berhampiran.

Katanya, pihak polis sedang mengesan suspek berkenaan.

Semalam media melaporkan berlaku kerosakan terhadap kawat berduri yang dipasang anggoa tentera di dua lokasi dalam lokaliti PKPD Kampung Kutan Tengah.

Kawat berduri berkenaan terdapat kesan pijakan dan dipotong menggunakan alat khas bagi membolehkan individu tidak bertanggungjawab itu melakukan pergerakan keluar masuk.

Terdahulu Ab Rashid dengan diiringi Ketua Balai Polis Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai meninjau lokasi pemasangan kawat duri di Kampung Kutan Tengah yang dirosakkan suspek.

Bagaimanapun lokasi sekatan berkenaan telah dibaiki semula dengan kawalan yang lebih ketat.

Ab Rashid juga berkata, pihaknya mempergiatkan kawalan dan rondaan bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku dengan menambahkan jumlah anggota kepada 60 orang bertugas di dua PKPD termasuk Kampung Ketil, Pengkalan Kubor. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -