PGSM gesa benar mahkamah syariah beroperasi

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran kepada Mahkamah Syariah dan Firma Guaman Syariah beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Presidennya, Musa Awang, gesaan itu dibuat melihat kepada keperluan masyarakat untuk mencari solusi kepada permasalahan membabitkan institusi itu seperti kes perceraian yang mencatatkan peningkatan sepanjang PKP 1.0 sebelum ini, dan kes membabitkan keganasan rumahtangga.

- Advertisement -

“Kes-kes yang didengar serta di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) sahaja.

“Akan tetapi, ia juga meliputi kes-kes pertikaian yang lain seperti keganasan rumahtangga, permohonan perintah injunksi tegahan terhadap gangguan terhadap fizikal (tubuh badan), injunksi tegahan terhadap harta, perebutan jagaan dan lawatan anak-anak, perintah Interim jagaan anak, dan sebagainya,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut kata Musa, hilang punca pendapatan, menganggur dan tertekan semasa PKP telah mencetuskan kebiasaan baharu dalam kehidupan masyarakat dengan peningkatan kes perceraian.

Selain itu, masalah kewangan juga menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami hilang atau kurang punca pendapatan disebabkan PKP.

Jelasnya, kehilangan atau kekurangan pendapatan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga, lantas menyebabkan konflik dalam rumahtangga dan berlaku perceraian.

Justeru itu katanya, apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, sepatutnya masyarakat dapat merujuk permasalahan mereka kepada Mahkamah Syariah atau Peguam Syarie, jika sekiranya kedua-dua institusi ini dibenarkan beroperasi.

Tambah beliau, tindakan kedua-dua institusi ini penting supaya permasalahan yang berlaku tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh sepatutnya dan sewajarnya, supaya tidak timbul rentetan masalah-masalah yang lain.

Jelasnya lagi, apabila berlaku keganasan dalam rumahtangga, mangsa boleh merujuk perkara tersebut kepada Peguam Syarie yang akan menasihatkan mangsa membuat laporan polis, mendapatkan Perintah Injunksi Interim Tegahan Gangguan daripada Mahkamah Syariah atau Interim Protection Order (IPO) (daripada Mahkamah Majistret).

Lanjutan daripada itu, biasanya akan berlaku pertikaian susulan seperti pengasingan pasangan, tuntutan perceraian, perebutan hak jagaan anak-anak dan sebagainya yang memerlukan kepada khidmat guaman dan mahkamah syariah, ujarnya.

Dilaporkan, sebanyak 6,569 kes penceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun tahun lalu (2020), begitu juga kes keganasan rumah tangga turut menunjukkan peningkatan ketara sepanjang PKP.

Pada 4 Mei 2021, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan.

Sementara itu, statistik Talian Kasih Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merekodkan sebanyak 2,540 kes keganasan rumah tangga telah diterima dalam tempoh sama.

Pada tahun 2021 pula, bagi empat bulan pertama untuk tahun ini iaitu dari Januari hingga April, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -