Penyeludup guna stor di sempadan seludup minyak masak

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minyak masak seberat 1,003 kilogram (kg) dan 200 kg tepung gandum semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,777.50 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

- Advertisement -

Katanya, walaupun mereka semakin licik apabila berjaya mendapatkan bekalan minyak masak dan tepung gandum daripada pemborong, namun usaha mereka gagal apabila cubaan seludup dipatahkan.

“Dalam operasi berkenaan kita menemui 1,003 kilogram minyak masak dan 200 kg tepung gandum dalam dua kenderaan yang ditahan di Kampung Bunohan di sini,” ujarnya pada kenyataan media di sini.

Azanizam berkata, pihaknya yang dibantu anggota Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) mengekori dua kenderaan jenis Perodua Viva serta Proton Saga selepas kenderaan itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di sini.

Menurutnya kedua-dua pemandu menyedari mereka diekori dan memberhentikan kenderaan sebelum bertindak melarikan diri meninggalkan kenderaan di bahu jalan di Kampung Bunohan.

“Pemeriksaan dalam dua kenderaan mendapati dipenuhi sejumlah kotak mengandungi minyak masak serta tepung gandum dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan awal pihaknya percaya mereka membuat belian secara persendirian dengan mendapatkan bekalan dari pemborong.

Katanya juga mereka menjadikan stor di sempadan negara berhampiran laluan sungai sebagai tempat simpanan sementara sebelum barangan diseludup ke negara jiran.

Azanizam juga berkata, penyeludup berani mengambil risiko menjalankan kegiatan itu kerana permintaan menggalakkan dari negara jiran.

Justeru itu, pihaknya bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa bekerjasama dari semasa ke semasa mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan ke negara jiran.

“Kami memberi amaran dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sesiapa sahaja yang melakukan penyelewengan terutamanya berhubung barang kawalan.

“Kerjasama bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dijalankan bagi membanteras barang kawalan daripada diseludup ke negara jiran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -