PAS setuju Umno tidak desak PRU15

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS berpandangan kenyataan Umno tidak perlu mendesak kerajaan supaya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat amat tepat.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu merujuk kepada kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa Umno tidak perlu mendesak kerajaan supaya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) dalam waktu terdekat kerana negara masih berdepan dengan wabak Covid-19.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata jika tindakan tersebut diteruskan, ia hanya akan menyukarkan usaha kerajaan dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, seharusnya ahli Umno membantu kerajaan dalam usaha memberi fokus mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus Covid-19.

“Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno percaya kita semua perlu komited untuk terus membantu kerajaan menjayakan agenda negara dan membebaskan rakyat daripada pandemik ini.

“Peranan jentera pilihan raya Umno di negeri dan parlimen yang bersedia hadapi PRU15 pada waktu ini, seharusnya digembleng untuk membantu kerajaan mengekang Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, kata Takiyuddin, PAS berpandangan kenyataan tersebut amat tepat dan kena pada masanya memandangkan fokus seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik Covid-19 yang masih belum reda sama ada di Malaysia mahupun di seluruh dunia.

Begitu juga, katanya parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak itu bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi.

Justeru itu, tambahnya PAS turut menyeru semua pihak terutama parti-parti politik dan NGO tanpa mengira fahaman dan aliran pemikiran agar sama-sama dapat membantu kerajaan menguruskan dan menyelesaikan wabak yang merupakan darurat besar (grave emergency) ini.

Ini, ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, sekali gus bermaksud isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga dan kewangan wajar dielakkan semaksimum mungkin.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini, berkata PAS yakin kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan kebaikannya akan dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk Malaysia. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -