Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH : Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek membidas pihak-pihak yang cuba merencatkan usaha-usaha kerajaan membendung Covid-19.
Menurut beliau, Malaysia sebenarnya boleh mempercepatkan usaha menangani isu Covid-19, cuma usaha ini perlu ditangani secara bersepadu oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang yang pelbagai.
“Tetapi malangnya ia tidak berlaku. Ibarat sebahagian sedang memperbaiki perahu, sebahagian lagi sedang merosakkannya. Kalau begini keadaannya bila perahu itu boleh belayar dengan stabil?
“Bagi saya watak-watak perosak inilah yang perlu dipersalahkan oleh rakyat. Pihak kerajaan sudah memerah keringat dengan pelbagai insentif diperkenalkan hingga terpaksa menambah hutang selain hutang lapuk kerajaan terdahulu.
“Itu pun ada juga radio buruk bersuara kenapa kerajaan berhutang,” ujarnya kesal.
Tambah beliau lagi, umum mengetahui ini bukan isu Malaysia sahaja bahkan ia sudah jadi isu global tidak kira negara maju atau miskin.
“Kalau nak kata ekonomi terjejas, apa yang pelik? Kalau nak kata pasal lockdown, negara mana yang tak buat lockdown dalam situasi begini?
“Pada saya baiklah berhutang daripada merompak. Dalam Islam pun ada keharusan untuk kita berhutang,” jelas beliau.
Menurut beliau, kerajaan telah menunjuķkan kesungguhan sehinggakan menteri-menteri berkorban tidak mengambil gaji sehingga lima bulan (dua bulan pada tahun lepas dan tiga bulan yang baru diumumkan).
“Itu pun ada juga yang condemn sepatutnya semua sekali elaun dikorbankan.
“Saya pelik sikap makhluk sebegini, kamu ini spesis jenis apa? Itu hak menteri, ikut merekalah nak sumbang. Mereka pun ada komitmen besar.
“Tapi kamu yang hanya tahu condemn setiap hari itu, apa yang kamu sumbangkan? Sebab itu bagi saya bukan caranya kalau hendak bantu selesaikan isu Covid-19 ini,” ujar Ustaz Kamarudin kesal.
Selain itu menurut beliau, figura politik sepatutnya memberi peluang dan kerjasama kepada ‘goverment of the date‘ laksanakan tugas.
“Zaman dia memerintah berilah peluang kepada dia beraksi demi kesejahteraan rakyat.
“Ini bukan masa nak cari populariti dalam krisis. Tunggulah bahtera tenang, ombak tidak membadai, ketika itulah masa berpancak silat siapa yang jaguh di medan.
Hakikatnya, menurut beliau, rakyat jelata sudah mula rasa lemas dan bosan.
“Seorang berwirid saban hari buka Parlimen demi tegakkan demokrasi konon! Seorang lagi pula minta buat MAGERAN, untuk tangani Covid-19 konon! Esok lusa entah apa lagi idea songsang yang bakal keluar,” ujar beliau lagi.
Menurut Ustaz Kamarudin lagi, walaupun Islam sendiri meraikan kepelbagaian pandangan tetapi keputusan pemerintah adalah terpakai.
Beliau turut menukilkan satu kaedah fiqah yang berbunyi ‘keputusan pemerintah mengangkat kekhilafan’.
Ustaz Kamarudin turut mengingatkan pendukung-pendukung demokrasi, bahawa demokrasi itu bukan satu agama yang mesti diimani.
“Ia hanyalah satu sistem pemudah cara dalam sesuatu pentadbiran atau pengurusan. Tetapi apabila dalam sesuatu keadaan yang tidak sesuai, maka kita perlu ambil alternatif.
“Umpama kita makan, dalam sistem biasa melalui mulut. Tetapi apabila seseorang itu sakit kronik di mulut, maka doktor akan cari alternatif lain untuk salurkan makanan sama ada melalui tiub atau tebuk di perut.
“Yang di-Pertuan Agong merasakan ketika ini perlunya darurat, ikut sahajalah. Kata menghormati Raja-Raja Melayu?
“Kesimpulannya adalah, hentikan kerja sia-sia. Berganding bahulah banteras Covid-19,” ujar beliau.
Beliau yang juga merupakan Penasihat Agama Kepada Ketua Menteri Melaka itu menyatakan perkara ini di dalam satu catatan di laman Facebook rasminya, malam tadi. – HARAKAHDAILY 14/6/2021