Kelantan jalin kerjasama UiTM perkasa pembangunan wanita

Dato’ Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjalin kerjasama dengan UiTM bagi memperkasakan pembangunan wanita, keluarga dan usahawan serta inovasi.

Kerjasama itu meliputi aktiviti dalam bidang pembangunan, pentadbiran, perundingan dan pendidikan.

Rektor UiTM Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed berkata, jalinan kerjasama itu diadakan antara Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) dengan UiTM Cawangan Kelantan.

- Advertisement -

Katanya hasil kerjasama itu lahir U-KeKWa Sinergi bermula 1 Ogos 2018 sehingga berjaya membantu urusetia terbabit mendapat pelbagai anugerah.

Antaranya Anugerah Penjanaan Pendapatan Sebenar Terbaik, Anugerah Fasilitator Terbaik, Anugerah KIK Hibrid Terbaik Bidang Inovasi Sosial di Konvensyen KIK UiTM Zon Timur dan Anugerah Penarafan Perak semasa Konvensyen KIK UiTM Peringkat Kebangsaan.

“U-KeKWa Sinergi menjadi satu titik tolak kerjasama antara kerajaan negeri dengan UiTM Cawangan Kelantan.

U-KeKWa Sinergi merupakan gabungan antara kakitangan U-KeKWa dan staf UiTM Cawangan Kelantan,” katanya pada majlis perjanjian persefahaman antara U-KekWa dan UiTM yang diadakan secara atas talian semalam.

Turut hadir anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi, Timbalan Exco Rohani Ibrahim, Pengarah U-KeKWa Ilvira Mohd Dasuki, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Kelantan Prof Madya Dr Ghazali Osman.

Selain itu Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Kelantan Ts Dr Khalid Abdul Wahid, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni, UiTM Cawangan Kelantan Dr Syerina Azlin Md Nasir dan Penolong Rektor UiTM Kampus Kota Bharu, Prof Madya Dr Mohd Nasir Ismail.

Majlis MoU itu boleh diikuti menerusi link youtube https://www.youtube.com/watch?v=T8ODJ_erIRI&feature=youtu.be

Dr Zulkifli juga berkata, kerjasama itu dapat diterus dan diperluaskan dengan organisasi lain.

Mumtaz pula mengalu-alukan kerjasama cendekiawan untuk membantu kerajaan negeri mencari penyelesaian dan penemuan baru bagi meningkatkan pembangunan rakyat.

“Kejayaan MoU hari ini diharap agar inovasi, kemahiran dan apa sahaja asas yang menjana pembangunan wanita Kelantan dapat mencapai satu tahap yang lebih optimum pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -