Jumlah pesakit Covid di Kelantan ‘trend’ menurun

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini akan diletakkan dalam keadaan standby mode memandangkan jumlah pesakit menunjukkan ‘trend’ penurunan dalam tempoh beberapa minggu ini.

Pengarah Pusat PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir bagaimanapun berkata, kedua-dua Pusat PKRC Salor dan Kampung Laut tidak ditutup sepenuhnya sebaliknya ia bergantung pada keadaan semasa kes Covid-19 kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Malah katanya, pihaknya juga kini dalam proses mengenal pasti pusat PKRC yang ingin diletakkan sebagai keutamaan.

- Advertisement -

“Melihat trend terkini jumlah pesakit yang berada di PKRC adalah sebanyak 1,330 orang dan kita mempunyai kapasiti katil sebanyak 2,930 dan masih mempunyai katil kosong kira-kira 1500.

“Jika kita lihat trend jumlah kes semakin menurun pada beberapa minggu ini, kita merancang akan memulakan proses menghentikan proses penerimaan pesakit di PKRC Salor dan Kampung Laut bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau Pusat PKRC di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya berbincang di peringkat negeri yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin, bersetuju menghentikan kemasukan pesakit di dua PKRC berkenaan.

Dr Mohd Zurairie berkata kedua-dua PKRC berkenaan akan beroperasi seperti biasa sehingga lebih 200 pesakit yang masih mendapatkan rawatan di pusat kuarantin tersebut selesai menjalani tempoh kuarantin.

“Kita juga akan memobilisasikan setiap petugas atau kakitangan yang berada di dua PKRC ini ke lokasi PKRC lain yang lebih memerlukan tenaga kerja seperti di Tanjung Chat kerana ada menempatkan sebilangan pesakit klinikal yang memerlukan rawatan rapi,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -