Bekas pesakit Covid-19 akui disisih masyarakat

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Bekas pesakit Covid-19, Nadzifah Said, 34 mengakui masih trauma selepas dijangkiti wabak berkenaan. Sehingga sekarang masih mengamalkan langkah pencegahan.

Beliau dan anaknya berusia empat bulan bebas daripada Covid-19 sejak hampir sebulan lalu. Namun masih kurang semangat meneruskan kehidupan harian.

- Advertisement -

Menurut beliau, biarpun sudah bebas sepenuhnya daripada wabak tersebut, namun menyedihkan penerimaan dan pandangan penduduk kampung terhadap mereka sekeluarga masih lagi belum berubah.

“Mereka menganggap seolah-olah orang yang dijangkiti Covid-19 seperti pembawa virus.

“Dengan keadaan itu menyebabkan saya rasa patah semangat dan saya pun tidak tahu sampai bila perasaan trauma tersebut akan hilang,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau yang bertugas sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) tetap meneruskan perjuangan biarpun dipandang serong oleh masyarakat setempat.

Ibu kepada dua orang anak itu juga menitipkan nasihat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana Covid-19 ada di mana-mana.

“Kita pun tidak tahu di mana kita boleh dijangkiti Covid-19 biarpun sudah sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi SOP,” katanya.

Menceritakan pengalaman beliau sepanjang berada di pusat kuarantin di wad Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar hampir 10 hari beliau hanya mampu berdoa supaya dirinya bersama anak bongsu segera bebas daripada Covid-19.

Nadzifah juga kehilangan ibu dan ayah akibat Covid-19 pada akhir Ramadan dan permulaan Syawal lepas.

Menurutnya perkara yang paling merisaukan sepanjang berada di wad apabila anak lelakinya turut positif Covid-19 dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen akibat serangan virus di paru-paru.

“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya ketika disahkan positif bersama anak, saya sangat bimbang perkara tidak diingini berlaku.

“Tambahan pula ketika itu ibu saya sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan adik beradik lain juga ada yang positif.

“Alhamdulilah, perancangan Allah SWT yang terbaik, umur kami dua beranak masih panjang walaupun terpaksa reda kehilangan ibu dan ayah akibat Covid-19,” katanya.

Menurutnya pada mulanya beliau dan anak mengalami demam pada 3 Mei lalu kemudian menjalani ujian calitan Covid-19 pada keesokan harinya dan disahkan positif.

Berikutan itu mereka menjalani kuarantin pada 5 sehingga 12 Mei iaitu sehari sebelum menjelangnya Aidilfitri.

“Sepanjang dalam tempoh kuarantin itu, saya merasa letih dan masuk hari keempat dan kelima mula hilang deria rasa manakala anak pula mengalami cirit-birit,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -