UMMAH cadang lanjut Proklamasi Darurat

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mencadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Menurut Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, Proklamasi Darurat yang dikuatkuasakan perlu ditangguh sehingga negara sudah mencapai imunisasi berkelompok sebanyak 90 peratus.

- Advertisement -

“Sebagaimana baginda telah mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat semasa mengistiharkan Proklamasi Darurat yang pertama, maka keadaan sama juga masih berterusan sehingga sekarang ini PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 3.0, dengan jumlah bilangan jangkitan masih ribuan angka.

“Suntikan vaksin juga masih berjalan dengan lancar bagi mencapai sasaran 150 ribu suntikan sehari, dan dijangka mengambil masa 213 hari atau selama tujuh bulan lagi bagi 32 juta rakyat Malaysia.

“Sekurang-kurangnya darurat perlu diteruskan selepas 1 Ogos selama 8 bulan lagi sehingga Mac 2022 jika keadaan jangkitan dan suntikan vaksin mencapai sasaran sebagaimana yang dirancangkan.

“Maka semua pihak mesti bekerjasama mengerakkan kempen suntikan vaksin imunisasi, juga bekerjasama bagi memutuskan rantaian virus Covid-19, jika kita mahu darurat ditamatkan dan boleh mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Mohd Zai, semua pihak wajar memainkan peranan penting dalam usaha menyelamatkan negara daripada wabak itu.

Rakyat dan kerajaan mesti menang bagi memutuskan virus pandemik Covid-19 ini dan darurat adalah jalan terbaik untuk negara berdepan pandemik Covid-19 ketika ini, katanya menyokong saranan Ahli Akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof.

Jumaat lalu, Dr Fathi mengutarakan pandangannya bahawa darurat merupakan satu-satunya cara untuk menangguh pilihan raya yang menurutnya, tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 13/6/2021

- Advertisement -