RM4.5 juta bantuan fasa kedua penduduk terjejas Covid

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Kerajaan negeri meneruskan baki sumbangan berjumlah RM4.5 juta bagi siri kedua untuk membantu golongan asnaf khususnya dalam kalangan wanita yang terkesan susulan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Kelantan, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, sumbangan itu akan diberikan kepada golongan asnaf dan penduduk miskin yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim serta ketua keluarga yang terjejas pendapatan harian.

- Advertisement -

Katanya sumbangan siri kedua itu bagaimanapun akan diagihkan bermula Julai ini melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negeri.

Menurutnya, dengan sumbangan yang dihulurkan tersebut secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 khususnya agihan barangan makanan asas.

Oleh itu, bagi mereka yang terjejas dan tercicir dalam mendapatkan bantuan yang sepatutnya diperolehi diharap dapat tampil memaklumkan kepada penghulu di kawasan masing-masing bagi menerima sumbangan.

“Target kerajaan jangan sampai ada keluarga yang tidak dapat makan. Ini kita panggil bantuan one-off, pihak yang terbabit perlu maklumkan kepada penghulu atau direct Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jangan senyap di rumah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin Sementara Bagi Daerah Kota Bharu dan Kubang Kerian di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut katanya, rakyat kini lebih bersedia sebaik sahaja sekatan pergerakan penuh diadakan pada awal bulan ini jika dibandingkan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Malah katanya, kebanyakan mereka yang terjejas dan meminta bantuan merupakan individu yang sebelum ini bekerja di luar Kelantan namun terpaksa balik ke kampung sebaik diberhentikan kerja serta kehilangan pekerjaan ketika Covid-19.

“Apabila mereka datang mendapatkan bantuan dan apabila ditanya, kebanyakannya mereka yang bekerja di luar dan mengambil keputusan pulang ke kampung,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2021

- Advertisement -