Polis sahkan terima laporan bayi tertukar

SHAH ALAM: Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua pasangan tertukar bayi di sebuah hospital swasta, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata laporan berkenaan dibuat oleh suami kepada usahawan dalam talian Siti Suriani Wahiddin, iaitu satu daripada pasangan yang terlibat, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 9 pagi tadi.

Advertisement

“Laporan polis dibuat selepas si suami  menyedari nama ibu pada tanda nama di kaki bayi tersebut bukan nama isterinya semalam, tetapi nama  wanita lain yang dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

“Laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurut laporan media, Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi kelmarin (11 Jun) manakala tanda nama di kaki bayi itu tertera nama wanita lain dan waktu dilahirkan pada 3.02 petang, 10 Jun (Khamis).

Tanpa menyedari bayi berkenaan tertukar, pihak hospital telah membenarkan Siti Suriani serta bayi tersebut pulang ke rumah semalam.

Kejadian berkenaan tular menerusi media sosial berikutan perkongsian Siti Suriani di Facebook (FB) Live pada 7.40 malam semalam yang mendapat 1.3 juta tontonan dengan 40,000 tanda reaksi, 56,000 komen dan dikongsi 37,000 kali.

Menerusi FB Live itu, Siti Suriani turut memaklumkan beliau sudah menemui semula bayinya, bagaimanapun bercadang mengambil tindakan undang-undang ekoran kecuaian hospital berkenaan dan membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan susulan. – BERNAMA