Lanjut darurat sehingga berjaya capai herd immunity

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) mencadangkan Proklamasi Darurat yang sedang dikuatkuasakan sekarang dilanjutkan sehingga Malaysia berjaya mencapai herd imunity atau imuniti berkelompok.

Ketua Penerangannya, Ustaz Muhammad Ibrahim atau Ustaz Mad China (UMC) berkata, langkah tersebut dilihat lebih relevan berbanding membuka semula Parlimen, kemudian berlaku kekecohan Undi Percaya dan kemungkinan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

PRU dalam masa terdekat akan menjadikan peristiwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berulang dan memburukkan situasi Covid-19 yang ada hari ini, ujarnya.

Manakala, penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) juga tidak akan membantu menambah baik situasi sedia ada, atau boleh jadi lebih buruk, katanya.

- Advertisement -

“Saya yakin dan percaya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar dikekalkan dan diberi kepercayaan.

“Malah, kita sendiri dapat melihat bahawa kerajaan berusaha sehabis baik untuk mengekang penularan Covid-19 dan kini dos vaksin sedang diedarkan sehabis baik untuk pastikan rakyat menerima vaksin,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Beliau dalam masa sama bersetuju dengan pandangan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang menganggap penubuhan MAGERAN adalah satu langkah ke belakang.

Langkah itu dipercayai akan merencatkan usaha kerajaan hari ini untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

Apatahlagi, ia bukan usaha kerajaan semata-mata, namun ia juga adalah usaha penjawat awam, barisan hadapan, pihak industri serta rakyat untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi, kata beliau. – HARAKAHDAILY 13/6/2021

- Advertisement -