Kelantan buka pusat vaksin di masjid, pondok

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan mengambil inisiatif membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara di masjid, surau dan pondok selama lima hari bagi memudahkan penduduk tempatan mendapatkan suntikan vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, meski pun ia dilaksanakan di masjid namun tidak terhad hanya kepada golongan Muslim sahaja.

Malah, terdapat sebanyak kira-kira 10 hingga 15 peratus golongan non-Muslim turut hadir sama menerima suntikan vaksin di masjid.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, ahli jawatankuasa masjid dan pelajar pondok turut menawarkan untuk mengadakan program ‘outreach’ atau PPV sementara di masjid dan di tempat mereka.

“Ini menunjukkan sambutan program vaksinasi amat menggalakkan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Sementara Bagi Daerah Kota Bharu dan Kubang Kerian di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Menurutnya juga setakat ini di Kelantan Jabatan Kesihatan telah menyuntik seramai 600 orang di pusat vaksin sementara tersebut.

“Malah institusi pondok sendiri menawarkan untuk melakukan aktiviti ‘outreach’ di tempat mereka dan ini menunjukkan satu indikator penerimaan suntikan vaksin semakin mendapat sambutan di Kelantan,” katanya.

Katanya juga bagi memastikan penduduk menerima suntikan vaksin secepat mungkin, pihaknya turut mendapat sokongan daripada penggawa serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menjalinkan kerjasama bagi mengumpul nama-nama selain mereka yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin.

Katanya, tujuan kerjasama itu bagi memastikan rakyat Kelantan menerima suntikan vaksin secepat mungkin, di samping pembukaan PPV sementara.

Malah, perkara itu juga diharap dapat memudahkan masyarakat setempat menerima suntikan terutamanya bagi mereka yang terpaksa menghadiri temujanji di PPV komuniti berada agak jauh daripada rumah.

Mengulas lanjut katanya, tahap kesedaran rakyat Negeri Kelantan terhadap pengambilan suntikan vaksin juga menunjukkan semakin meningkat.

Katanya, di beberapa Pusat Pemberian Vaksin juga mencatatkan ketidakhadiran adalah rendah dan ia menunjukkan sambutan rakyat di negeri Kelantan amat baik.

Tambahnya, sehingga kini seramai 140,000 atau 11 peratus rakyat Kelantan telah menerima suntikan vaksin dos pertama, manakala sebanyak 5 peratus bagi suntikan dos kedua.

Justeru itu, pihaknya amat berharap agar bekalan vaksin mencukupi bagi rakyat di negeri itu.

Malah pihaknya turut bersama dengan kerajaan negeri dan ketua jajahan bagi memastikan 70 hingga 80 peratus rakyat di Kelantan mendapat suntikan vaksin secepat yang mungkin.

Beliau berkata, bagi kawasan pedalaman, pihaknya akan cuba untuk memastikan penduduk mendapat suntikan vaksin sebelum musim tengkujuh selewat-lewatnya pada September hadapan.

“Ini adalah kerana keadaan cuaca pada ketika itu akan menyukarkan petugas kesihatan masuk ke kawasan pedalaman yang hanya boleh dilalui dengan menaiki pacuan empat roda untuk memberikan suntikan vaksin,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2021

- Advertisement -