Kedah tambah PPV bantu ramai dapat vaksin

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Proses vaksinasi di Kedah dijangka akan berjalan lebih aktif apabila kemasukan vaksin Covid-19 secara drastik dan menyeluruh menjelang Julai ini.

Menurut Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, sehingga kini proses vaksinasi di negeri itu masih berjalan dengan baik walau pun menghadapi kekurangan bekalan.

“Sekiranya bekalan vaksin berjalan lancar, Kedah boleh menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri dan lebih ramai lagi boleh menerima vaksinasi ini,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Advertisement

Menurut beliau sebahagian bekalan yang diperuntukan untuk Kedah, di bawa ke Lembah Klang dan beberapa tempat lain.

Kesan dari itu, terdapat PPV yang terpaksa menunda atau mengubah tarikh temujanji bersama orang ramai berikutan bekalan tidak mencukupi dan tidak sampai.

Dr Mohd Hayati juga berkata, situasi wabak yang dijangka pulih Julai ini akan memberi fokus secara menyeluruh kepada industri pelancongan di Langkawi.

Perkara itu katanya sebagai usaha untuk membuka semula pulau lagenda itu kepada pelancong supaya industri pelancongan pulih kembali setelah ‘mati’ akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Vaksinasi untuk penduduk Langkawi akan dibuat secara ‘all-out’ dan lebih ramai sukarelawan diperlukan untuk membantu Jabatan Kesihatan.

“Oleh itu saya mengharapkan kakitangan industri pelancongan di sana (Langkawi) yang sudah divaksin dapat menjadi sukarelawan membantu proses pendaftaran agar semua rakyat pulau itu yang berkelayakan menerima imunisasi,” kata beliau.

Dengan perkembangan itu membolehkan Langkawi dibuka kepada pelancong pada November depan mendahului Pulau Puket, Thailand yang dijangka memulakan aktiviti pelancongan kepada pihak luar pada Disember 2021.

Dalam perkembangan lain, Adun Tokai itu turut mencadangkan supaya individu yang telah menerima dua dos vaksin dibenarkan hadir ke masjid untuk menunaikan solat lima waktu dan Jumaat.

“Perkara itu seiring dengan cadangan yang diutarakan Kerajaan Kelantan sebelum ini.

“Saya harap Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kedah mengambil cakna dengan cadangan ini untuk membolehkan mereka yang sudah menerima dua dos vaksin dibenarkan berjemaah di masjid,” tambahnya.

Sementara itu sehingga kini secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0, walaupun tidak 100 peratus.

“Walaupun tidaklah seperti SOP PKP 1.0 dahulu namun boleh dikatakan antara 70 hingga 80 peratus dilihat patuh dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/6/2021