Hentikan segera provokasi hina agama

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk provokasi terhadap agama Islam serta agama-agama lain demi untuk menjaga keharmonian yang dinikmati rakyat sejak sekian lama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, semua aktiviti yang boleh mengundang kepada ketegangan perlu dihentikan segera.

Katanya kerana ia tidak mendatang sebarang manfaat daripada keadaan tegang yang berlaku, sebaliknya memberi ruang pihak musuh yang sentiasa ingin mewujudkan keadaan huru hara dan tegang di negara ini.

Advertisement

“Saya merujuk insiden seorang lelaki yang menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti dan menghina agama Islam dan berakhir dengan tindakan oleh sekumpulan penghantar makanan,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Semalam polis menahan lima penghantar makanan di Sungai Way ekoran tindakan mereka dipercayai memukul seorang pelanggan yang dikatakan mengeluar kenyataan yang disifat menghina Islam.

Kamaruzaman juga berkata, dalam keadaan genting seperti sekarang, semua rakyat perlu bersatu padu untuk menghadapi ancaman bersama bagi menangani wabak Covid 19.

Bagaimanapun beliau turut memuji tindakan NGO-NGO dan pihak-pihak lain yang bertindak pantas dan menawarkan bantuan guaman kepada pihak terbabit.

“Semoga PDRM dapat mengambil tindakan pantas dan tegas untuk mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang dan dipandang ringan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/6/2021