Darurat: Penjelasan mengenai Jawatankuasa Khas Bebas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada kenyataan medianya semalam berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berhubung dengan Perisytiharan Darurat dan hal-hal yang berkaitan dengannya di mana sebahagiannya kelihatan dipetik di luar konteks yang sebenarnya.

- Advertisement -

“Saya ingin mengulangi komitmen dan jaminan kerajaan bahawa kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf segala mekanisma yang wujud secara sah di sisi undangundang.

“Dengan kata lain kerajaan mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan juga, katanya tidak pernah campurtangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebaliknya memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa itu dapat melaksanakan fungsinya sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 2 iaitu “Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)”.

Beliau berkata, kerajaan juga terus berperanan menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan semasa tempoh darurat berkuatkuasa sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 11, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Justeru dalam keadaan negara kita masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19 ini, sebaiknya semua pihak perlu akur kepada fungsi masing-masing yang ditetapkan di bawah kerangka perundangan sedia ada,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/6/2021

- Advertisement -