Polis Perak keluar lebih 1,000 kompaun langgar SOP PKP

- Advertisement -

IPOH: Polis Perak mengeluarkan 1,239 kompaun berkaitan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun sehingga semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, antara kesalahan SOP yang paling banyak direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka iaitu sejumlah 244 kompaun, yang dikenakan terhadap individu yang ingkar.

- Advertisement -

“Tahap pematuhan SOP di negeri ini berada pada tahap memuaskan iaitu mencapai 96 peratus. Sebanyak 339 pasukan pemantau pematuhan SOP telah digerakkan dengan kadar penugasan yang lebih kerap.

“Pasukan pemantau ini juga akan ditambah mengikut keperluan semasa penugasan. Semua elemen rondaan PDRM Perak juga turut digerakkan bagi tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Mior Faridalathrash berkata, pihaknya telah melaksanakan sebanyak 63 sekatan jalan raya (SJR) secara tetap di seluruh negeri.

“Pertambahan SJR akan dibuat berdasarkan keperluan penugasan semasa. SJR Bergerak atau ‘snap check’ akan dibuat mengikut keperluan semasa Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai, terutamanya di jalan pintas atau lorong tikus,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini dalam perancangan untuk mewujudkan Pasukan Pemantau Bersepadu Berpusat, yang akan melakukan pemantauan secara bersasar dan berdasarkan aduan orang ramai berkaitan pelanggaran SOP yang sedang berkuatkuasa.

Menurutnya pasukan pemantau itu akan melibatkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Pihak Berkuasa Tempatan. – BERNAMA

- Advertisement -