Penerima vaksin Covid-19 makin meningkat

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

POKOK SENA: Usaha kerajaan untuk mewujudkan imuniti kelompok dilihat semakin membuahkan hasil berikutan jumlah penerima vaksin Covid-19 semakin meningkat.

Exco Penerangan, Multimedia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, walaupun peringkat awalnya program imunisasi itu agak hambar namun ia semakin aktif sejak kebelakangan ini.

- Advertisement -

“Pelbagai usaha sedang digembleng oleh semua pihak bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menerima vaksin.

“Selain berserah kepada Allah kita sebagai hamba-Nya perlu berusaha terlebih dahulu dan vaksin ini sebagai satu ikhtiar untuk kita semua,” katanya ketika lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Klinik Kesihatan Daerah Pokok Sena, semalam.

Sehingga kini katanya, beliau berpuas hati dengan sambutan masyarakat terhadap program vaksinasi namun mengharapkan agar ia lebih dipertingkatkan.

Sempena lawatan itu, Adun Bukit Pinang itu juga turut menyampaikan sumbangan kepada para petugas kesihatan sebagai penghargaan di atas pengorbanan yang mereka curahkan.

Lawatan itu turut disertai Adun Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood dan diiringi pegawai perubatan pusat kesihatan terbabit, Dr Izzat Muhammad.

Menurut Wan Romani lagi, lawatan dan pemantauan itu antara aktiviti berkala Exco Kerajaan Negeri Kedah ke semua PPV seluruh negeri sebagai menunjukkan komitmen tinggi terhadap program vaksinasi Covid-19. – HARAKAHDAILY 12/6/2021

.

- Advertisement -