Minyak masak bersubsidi 1kg minyak kitar semula?

APAKAH minyak masak 1 kg bersubsidi dengan harga RM2.50 kualitinya rendah. Apakah ianya minyak kitar semula?

Minyak Sawit Mentah (MSM) atau Crude Palm Oil (CPO) yang dihasilkan dari kilang pemprosesan buah sawit belum boleh lagi digunakan untuk tujuan memasak dan sebagainya. CPO atau minyak mentah ini perlu menjalani proses pemisahan antara bahan ‘liquid’, bahan ‘solid’ dan lain-lainnya di kilang penapisan.

Di kilang penapisan, CPO yang diproses akan menghasilkan RBD Palm Oil (PO), kemudian RBD PO ini akan melalui proses ‘fractionation’ untuk menghasilkan RBD Olein dan Stearin.

RBD Olein adalah dalam bentuk cecair berwarna kuning keemasan dan jernih dan inilah dia minyak masak. Sementara satu lagi bahan dalam bentuk pepejal berwarna putih iaitu Stearin.

Advertisement

Ketahanannya kepada suhu yang tinggi dan kestabilan kandungan lemaknya menjadikan RBD Olein sangat sesuai untuk tujuan menggoreng. Ianya digunakan secara meluas dalam industri pembuatan makanan segara seperti mee segera, kerepek kentang, donut, susu sejat serta di rumah dan restoran untuk tujuan memasak. Olein juga merupakan bahan asas dan pembuatan majerin dan ‘shortening‘.

Sementara itu Stearin (solid) pula yang berwarna keputihan digunakan sebagai bahan asas dalam pembuatan sabun, lilin, ‘greasing‘ dan sebagainya.

Ia juga boleh dicampurkan dengan lemak sayuran lain untuk menghasilkan majerin, creamer, shortening dan lain-lain bahan makanan yang boleh kita dapati dengan mudah di rak-rak pasar raya.

Pendek kata hampir 70 peratus sama ada bahan makanan atau produk kecantikan keluaran Nestle, Uniliver, Procter & Gamble, Colgate Palmolive dan lain-lainnya mengandungi bahan asas daripada kelapa sawit yang saya sebutkan di atas.

RBD Olein kemudian akan dibotolkan oleh pengeluar minyak masak untuk proses pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran dengan berbagai-bagai jenama.

Apakah minyak masak (RDB Olein) boleh dikitar semula untuk tujuan yang sama iaitu menghasilkan minyak masak yang lain?

Sebenarnya minyak masak yang telah digunakan akan mengalami perubahan dari segi struktur kimia dan lemaknya.

Warna dan rasanya telah berubah sama sekali dan ianya tidak baik untuk kesihatan dan boleh menyebabkan kanser dan berbagai-bagai penyakit lain (boleh lihat di Google), maka ia tidak sesuai lagi digunakan untuk tujuan menggoreng dan memasak.

Sebaliknya ia masih boleh digunakan kembali untuk tujuan lain seperti membuat lilin, sabun dan biodiesel sekiranya setiap dari kita mengambil sikap bertanggungjawab untuk mengumpulkan dan diserahkan kepada pihak yang telah dibenarkan untuk melakukan pengumpulan seperti Alam Flora.

Dan kita juga tidak sepatutnya membuang sisa ini ke dalam parit, sinki dan tanah yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Kerajaan membelanjakan sekitar RM400 juta setahun untuk memberi subsidi minyak masak dan kos ini akan meningkat sekiranya harga komoditi minyak sawit juga turut meningkat.

Walaupun begitu, kerajaan di bawah KPDNHEP haruslah bersikap proaktif mempertingkatkan pengawasan supaya minyak bersubsidi yang berjumlah 60 juta kilogram sebulan dan 720 juta kilogram setahun tidak diselewengkan menjadi minyak masak botol tidak bersubsidi yang pastinya memberikan pulangan yang sangat tinggi kepada orang tengah, pengusaha dan pemborong minyak masak apa lagi di waktu harga CPO melambung tinggi.

Oleh itu kalau ada di antara kita yang mengatakan bahawa paket 1 kg minyak masak bersubsidi adalah minyak kitar semula atau kualitinya rendah sebab tidak berjenama adalah tidak benar sama sekali.

Seperti kita membeli sehelai kemeja-T yang dibuat dari bahan ‘mercerised cotton‘, kita boleh memilih jenama biasa sesuai dengan kemampuan atau seperti pepatah Inggeris ‘you pay more for name‘.

BAKRI JAMALUDDIN
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Melaka. – HARAKAHDAILY 12/6/2021