Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata Malaysia akur serta menghormati keputusan Kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan bagi warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut.

“Sebentar tadi saya menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Dr. Abdelfattah Sulaiman Mashat, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan keputusan Kerajaan Arab Saudi bagi penglibatan jemaah haji daripada negara luar bagi Musim Haji 1442H.

“Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan media, petang ini.

- Advertisement -

Tambahnya, hal itu disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

Menurutnya, makluman yang sama telah diterima oleh Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammudin Hussin daripada rakan sejawatnya, Putera Faisal bin Farhan Al Saud.

“Kenyataan rasmi oleh Kerajaan Arab Saudi juga telah dikeluarkan tepat jam 6.10 petang sebentar tadi,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Khadimul Haramain Raja Salman bin Abdulaziz dan Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa menjaga dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Malaysia.

Hal seperti itu, ujarnya akan menambahkan lagi keakraban hubungan dua hala antara dua negara yang sudah kukuh sejak sekian lamanya.

“Saya memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah haji pada tahun ini.

“Keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan, sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip Maqasid Syariah yang sentiasa dijunjung oleh Kerajaan Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan.

“Saya menginsafi situasi yang sedang kita hadapi mutakhir ini sebagai sebuah ujian yang amat berat.

“Pun begitu, saya tetap yakin dengan doa dan munajat kita semua yang sudah pasti pandemik Covid-19 akan berlalu pergi dari kamus kehidupan kita, amin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -