Covid-19: Lagi catat kes sembuh tertinggi hari ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah kes sembuh daripada Covid-19 dalam tempoh 24 jam di negara ini sekali lagi mencatatkan angka tertinggi sejak pandemik itu melanda Malaysia dengan 8,334 kes berbanding 7,749 semalam, menjadikan kumulatif sembuh hingga kini sebanyak 572,113 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 76 kematian baharu turut dicatatkan hari ini, menyaksikan jumlah kematian keseluruhan akibat pandemik itu meningkat kepada 3,844 kes.

- Advertisement -

“Kes aktif pula kini 76,247 kes manakala sejumlah 914 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 459 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan wabak itu hari ini.

Mengenai kes baharu, beliau berkata daripada jumlah 5,793 yang dicatatkan hari ini, sebanyak enam kes melibatkan kes import manakala 5,787 pula melibatkan penularan dalam negara.

Kes import melibatkan empat warganegara dan dua bukan warganegara manakala kes tempatan pula membabitkan 4,851 warganegara dan 936 bukan warganegara, katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata 24 kluster baharu dikesan hari ini dengan 15 daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja, tujuh kluster melibatkan komuniti dan dua di pusat tahanan.

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Industri Batu 46, Industri Jalan Bandar Lama, Industri Jalan Sellathevan dan Industri Jalan Udang Galah di Selangor, Flora Blue Valley dan Industri Jalan 1/6 Gebeng (Pahang) serta Industri Jalan Haruan Enam dan Industri Taman Melur (Negeri Sembilan).

Kluster tempat kerja lain adalah Jalan Perindustrian Bukit Minyak Tiga dan Perusahaan Baru Satu (Pulau Pinang), Jalan Pekeliling Tanjung dan Jalan Besar Simpang Renggam (Johor), Jalan Lai Tet Loke (Kuala Lumpur), Desa Pulau Rusa (Terengganu) dan Dah Bukit Makmur (Kedah).

Manakala tujuh kluster komuniti adalah Kampung Kubang Batu dan Kedai Ketereh di Kelantan, Kampung Sinar Budi Baru dan Melatai (Sarawak), Kampung Baru Sipitang, Indah dan Ambar Park (Sabah), selain kluster pusat tahanan iaitu Tembok Bukit Mertajam (Pulau Pinang) dan Jalan Bachok-Tok Bali (Kelantan).

“Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan 2,462 kluster dengan 761 kluster aktif,” katanya dengan menambah jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan ialah 1,701. – BERNAMA

- Advertisement -