Tiada keperluan untuk mewujudkan seperti MAGERAN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dilihat tidak relevan buat masa ini, kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad.

Menurut beliau, tawaran mantan Perdana Menteri itu turut ditolak pihak pembangkang yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen.

Jelas beliau, pihaknya memberikan sokongan sepenuhnya terhadap Perikatan Nasional kerana ia adalah sebuah kerajaan sah yang ditubuhkan berlunaskan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

“Undang-undang darurat pun dilaksanakan dengan mengikut undang-undang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Jadi tidak timbul isu kerajaan pintu belakang kerana kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang sah, bukan melalui jalan yang tidak mengikut perlembagaan.

“Kerajaan sedia ada telah berjalan dalam tempoh darurat dan insya-Allah (darurat) akan beransur pada 1 Ogos yang peruntukan untuk pelaksanaan darurat juga telah dilaksanakan mengikut peruntukan yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

“Jadi tidak ada isu untuk kerajaan yang ada pada hari ini ditukar kerana ianya dibina dan dijalankan berasaskan peruntukan yang telah dibenarkan oleh undang-undang Perlembagaan,” katanya kepada HarakahDaily hari ini.

Beliau menjelaskan, tiada keperluan untuk membentuk MAGERAN kerana kerajaan memberikan komitmen penuh terhadap pentadbiran negara serta pengurusan pandemik Covid-10, termasuk keperluan memelihara kelangsungan hidup rakyat.

Justeru, beliau menyeru kepada semua parti politik untuk memberikan perhatian dan kerjasama serta sumbang saran kepada kerajaan dalam usaha melaksanakan agenda bagi menghadapi pandemik Covid-19.

“Sasaran janji yang telah diberikan oleh Tan Sri Muhyiddin sendiri pun, apabila selesai sahaja Covid-19, maka beliau akan membubarkan Parlimen dan akan mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

“Jadi seruan saya supaya semua orang berhenti politiking dan tumpu kepada usaha untuk bersama dengan kerajaan dan menjayakan agenda untuk membebaskan negara kita daripada wabak Covid-19,” tegasnya.

Menurutnya, beliau menghormati pandangan mantan Perdana Menteri itu berhubung cadangan penubuhan MAGERAN, bagaimanapun pihaknya yakin mampu melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin dalam usaha memerangi Covid-19 dan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

Pada Khamis, Tun Dr Mahathir Mohamed mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Agong tidak memberi sebarang jawapan yang konklusif berhubung tawaran berkenaan. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -