SPM 2020: MB ucap tahniah kejayaan pelajar, sekolah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sekolah Menengah Sains (SMS) Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani di atas kecemerlangan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan semalam.

Sekolah berkenaan juga muncul sebagai sekolah terbaik SPM 2020 untuk negeri Kedah.

- Advertisement -

“Saya ucapkan tahniah kepada pengetua, guru-guru, para pelajar dan tidak ketinggalan para waris di atas kejayaan yang amat membanggakan ini.

“Ini adalah kejayaan untuk anda semua,” jelas beliau dalam kenyataan, semalam.

Keputusan cemerlang itu mencapai nilai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.77 atau 21.9 peratus berikutan 23 daripada 105 calonnya mencapai keputusan cemerlang A penuh.

Sanusi yang juga bekas pelajar sekolah tersebut merasa amat bangga dengan kejayaan itu walaupun berdepan cabaran pembelajaran secara atas talian sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Alhamdulillah, walaupun terpaksa belajar secara di atas talian kerana pandemik Covid-19 ini, para pelajar dan guru-guru dapat menyesuaikan diri dan ternyata membuahkan kejayaan cemerlang,” kata beliau lagi.

Beliau difahamkan, SMS Sultan Mohammad Jiwa ini juga antara 20 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik di seluruh negara.

“Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama sekolah tetapi juga negeri Kedah. Syabas saya ucapkan,” katanya.

Sanusi turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang mengambil keputusan SPM.

“Tahniah kepada semua calon SPM yang mendapat keputusan cemerlang. Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa dan teruskan usaha ke arah kecemerlangan.

“Tahniah juga kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus melaksanakan tanggungjawab pada era pandemik Covid-19. Teruskan usaha menjadi insan bermanfaat kepada ummah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -