PSR potensi rosak ekologi laut perairan Perak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) akan menyebabkan bekalan ikan dan makanan laut di negeri itu terjejas teruk.

Menurut Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim sumber perikanan yang ada di Pulau Pinang semakin hari makin berkurangan.

“Kalau projek itu diteruskan sudah tentulah implikasinya yang over development akan mendatangkan bencana kepada alam sekitar khususnya food supply atau food bank yang kita lihat dari segi sumber laut.

- Advertisement -

“Selatan pulau merupakan kawasan teluk daripada Permatang Damar Laut sehingga ke Teluk Kumbar menjadi punca rezeki hasil laut yang amat banyak.

Iszuree Ibrahim

“Antaranya ikan, udang dan sotong. Hasil lautnya cukup banyak yang menjadi sumber rezeki penduduk Pulau Pinang dan nelayan-nelayan di utara,” kata beliau dihubungi di sini.

Pelaksanaan PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar. Apa yang diimpikan kerajaan DAP pulau buatan itu mampu menyaingi Marina Bay di Singapura.

Projek tersebut diuar-uarkan kerajaan Pulau Pinang bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur. Antaranya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.

PSR menjadi taruhan untuk membiayai kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dianggar bernilai RM49 bilion untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di negeri itu.

Iszuree berkata, jika projek tersebt dilaksanakan, sudah tentu memberi implikasi alam sekitar yang cukup buruk.

Bukan sahaja katanya di selatan Pulau Pinang sebaliknya pasir yang akan diambil di dasar laut di sepanjang Selat Melaka dan perairan Perak akan menyebabkan ekologi laut rosak.

“Ia akan menyebabkan batu karang di pinggir laut Perak musnah sama sekali dan mengheret Perak terlibat bencana alam sekitar di mana ekologi perikanan musnah.

“Keadaan itu menyebabkan kita akan bergantung kepada import ikan dan hasil laut daripada Thailand,” ujarnya.

Beliau juga berkata, sikap kerajaan DAP yang ghairah menonjolkan imej advance dari segi pembangunan sehingga terpaksa menodai alam sekitar dengan projek mega PSR.

Menurutnya juga petisyen online membantah PSR yang dianjurkan NGO-NGO termasuk Pinang Forum kini mencecah lebih 300,000 bantahan.

“Namun kenyataan terkini kerajaan negeri masih mahu meneruskan projek tersebut. Saya lihat mereka tidak ada sumber alternatif untuk mendatangkan keuntungan yang boleh mendanai kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -