PAS Temerloh hulur bantuan kebajikan sempena PKP 3.0

- Advertisement -

TEMERLOH: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Temerloh telah menyampaikan bantuan kepada kalangan penduduk setempat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

- Advertisement -

Sumbangan menerusi Tabung Bantuan COVID-19 itu telah dilancarkan oleh Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus sejurus PKP 3.0 diumumkan akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu oleh kerajaan.

Hasil sumbangan ahli, pimpinan dan penyokong PAS serta para dermawan, sebanyak 300 pek mengandungi beras, bihun, tepung, minyak masak, telur, gula, teh dan kopi diagihkan ke tiga DUN dalam Parlimen Temerloh.

Masing-masing serahan yang dibuat dari rumah ke rumah penerima telah dihantar langsung oleh delegasi diketuai pimpinan PAS Temerloh sambil berziarah melihat sendiri situasi sedang dihadapi penduduk.

Timbalan Yang Dipertua PAS Temerloh, Hasanuddin Salim di DUN Kuala Semantan, manakala Naib Yang Dipertua PAS Temerloh, Hasan Omar di DUN Lanchang dan Ahli Jawatankuasa PAS Temerloh, Ustaz Abirerah Awang Chik di DUN Mentakab.

Menurut Md Jusoh, program ini dapat dijayakan berkat sikap ta’awun atau bantu-membantu yang ada pada ahli-ahli dan penyokong PAS serta mereka yang sangat yakin dengan ketelusan dan kejujuran PAS.

“Semoga bantuan ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka yang terkesan dengan PKP 3.0. Tidak lupa penghargaan buat para amilin di Lanchang, Mentakab dan Kuala Semantan.

“Atas sikap sentiasa prihatin mereka dengan situasi semasa dan telah mempermudahkan segala perjalanan urusan bantuan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -