FDI RM42.4b beri manfaat kepada rakyat Kedah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, saya berasa sungguh bangga melihat perkembangan cemerlang kerajaan Negeri Kedah di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor,” kata Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

Ini, ujarnya susulan berita kejayaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengesahkan Kedah kini menerima pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan berjumlah RM42.4 bilion setakat suku pertama tahun ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, iIni merupakan angka pelaburan yang cukup besar dan memberangsangkan serta turut mencatat sejarah dengan sektor pembuatan sahaja mewakili 72 peratus jumlah FDI diterima negara iaitu sebanyak RM58.8 bilion bagi tempoh tersebut.

Malah, katanya angka itu turut jauh meninggalkan FDI yang diterima negeri lain dengan kedudukan kedua oleh Sabah (RM4.3 bilion), Selangor (RM4 bilion), Melaka (RM3.4 bilion) dan Johor (RM1.7 bilion) bagi tempoh yang sama.

Tambahnya, pelaburan juga akan ditingkatkan dengan pertambahan lagi RM2.2 bilion diterima Kedah Rubber City (KRC) dan pembukaan fasa kelima Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) tidak termasuk sektor perkhidmatan dan primer.

Tambah menggembirakan lagi, katanya Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) yang mengetuai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) juga turut yakin Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah akan meningkat 30 peratus membawa jumlah RM62 bilion menjelang 2027.

“Saya yakin, kejayaan ini hasil daripada pakej insentif fiskal menarik dan komprehensif ditawarkan Kedah serta keberkesanan pengurusan pentadbiran yang baik oleh YAB Menteri Besar yang menerajui kerajaan sejak 17 Mei tahun yang lalu,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Katanya lagi, kejayaan itu sudah pasti kelak bakal membuka banyak peluang pekerjaan dan projek ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat Negeri Kedah.

“Semoga kerajaan negeri ini terus utuh melakar lebih banyak kejayaan dan rakyat Negeri Kedah sentiasa diberikan keamanan dalam kehidupan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -