Anwar, PKR perlu lebih jujur terhadap Agong

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepemimpinan PKR supaya perlu lebih jujur dan berpendirian tetap terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja.

Beliau berkata, kelmarin Anwar diperkenan berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Katanya, Ahli Parlimen Port Dickson itu telah pun menyampaikan hasratnya untuk kerajaan untuk tidak menyambung Perintah Darurat selepas bulan Ogos ini.

- Advertisement -

Tambahnya, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan mencemar duli berjumpa dan mendengar pandangan Anwar, tetapi lain pula sikapya ketika ada ahli-ahli PKR yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan biadab terhadap baginda kebelakangan ini.

“Contohnya kes video ahli PKR Iswardy Morni yang terang-terangan menghina Agong. Walaupun PKR berkata pendapat Iswardy tidak mewakili pendirian parti, tetapi Anwar sendiri tidak bersuara mempertahankan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu.

Baru-baru ini pula, ujarnya keluar cadangan daripada gerakan Agenda Reset Malaysia supaya Yang di-Pertuan Agong berehat selama enam bulan dan menyerahkan tugas kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Tetapi Anwar seperti biasa diam sahaja apabila Yang di-Pertuan Agong diserang. Ini seolah-olah menunjukkan yang Datuk Seri Anwar bersetuju dengan penghinaan kepada Raja-Raja kita,” katanya dipetik laman web bersatu.org/.

Wan Saiful turut menasihati Anwar supaya menghentikan polemik sebaliknya menyokong usaha kerajaan membasmi wabak Covid-19 dan membantu memulihkan keadaan ekonomi serta kesihatan rakyat. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -