Tujuh tahun hadapi masalah air, tiada penyelesaian

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP digesa agar segera menyelesaikan masalah air yang menghantui penduduk Taman Seri Putera, Nibong Tebal sejak tujuh tahun lalu.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, hal berkenaan memberi tekanan kepada penduduk terbabit malah ada yang sudah berputus asa.

“Ada juga yang bertekad mahu menjual rumah kerana tidak tahan menanggung masalah yang sudah berlarutan agak lama,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, kerajaan negeri boleh memohon belas ihsan Kerajaan Perak untuk mendapatkan bekalan air mentah memandangkan Nibong Tebal terletak bersempadan dengan negeri berkenaan.

“Kedudukan Nibong Tebal amat strategik kerana ia terletak bersempadanan Kedah serta bercantum dengan Sungai Krian dari Perak.

“Tetapi disebabkan sikap tiada toleransi dan kedegilan seperti yang ditunjukkan berkaitan isu tuntutan air mentah oleh Kerajaan Kedah, maka rakyat menjadi mangsa,” sambung beliau.

Beliau juga turut membidas sikap pemimpin kerajaan negeri yang dilihat seolah-olah ‘tidak boleh dibawa berbincang’.

Sebelum ini katanya kerajaan negeri ada ura-ura untuk mendapatkan sumber air mentah dari Sungai Krian untuk bekalan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Tetapi, ujarnya oleh kerana sikap mereka sendiri akhirnya tidak ke mana dan memberi kerugian kepada negeri.

“Pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga lebih mengamalkan ‘hak aku, hak aku, hak kamu, hak aku’.

“Itu sebab saya kata hidung belang pemimpin DAP ini sudah dikenali. Yang dia punya tetap dia punya. Yang orang punya pun dia punya juga,” bidas Fauzi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir Jaseni Maidinsa dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca masalah yang menyebabkan 200 penduduk di Kawasan perumahan berkenaan mengalami gangguan bekalan air.

Selain itu, katanya pihaknya juga akan mengambil beberapa langkah jangka pendek untuk mengatasi masalah itu dalam kadar segera.

Justeru itu Fauzi mengharapkan agar tindakan segera diambil untuk mengeluarkan penduduk berkenaan daripada terus dibelenggu masalah tersebut.

“Kasihanlah kepada yang terlibat. Segeralah atasi masalah mereka,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -