Tuan Ibrahim wakili Presiden PAS menghadap Agong

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang kini masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) untuk menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, perbincangan berlangsung hampir satu jam berkisar perkembangan isu Covid-19, darurat dan persidangan Parlimen.

Advertisement

“Tuanku sangat terbuka dan mesra berbincang, namun baginda serius apabila menitahkan hal-hal yang berkaitan kes-kes Covid-19 yang sedang berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.  

Menurutnya, PAS merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan akan terus mendukung pendirian yang diambil untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara hari ini.

PAS juga, ujar beliau telah mengarahkan seluruh jentera parti untuk terus memobilisasi usaha membantu petugas barisan hadapan dalam semua inisiatif di bawah program vaksinasi kebangsaan seperti melancarkan kempen dan bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan. 

“Mewakili PAS, saya menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap dan mempersembah maklum pendirian parti,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air adalah pemimpin pertama yang tiba untuk menghadap Agong pada 10.20 pagi, sebelum keluar meninggalkan Istana Negara pada 11.35 pagi. – HARAKAHDAILY 10/6/2021