Teruskan PSR: Ego DAP ancam perikanan, alam sekitar

- Advertisement -

LAPORAN media bertarikh 10 Jun 2021 yang memetik ‘Pulau Pinang tak akan batal PSR’ (Sinar Harian, muka surat 27) dan ‘PSR to go on despite objections’ (The Star, muka surat 11) menampakkan Kerajaan DAP Pulau Pinang sangat ego dan tidak sensitif terhadap alam sekitar dan sumber alam. Malah teguran dan pandangan daripada pakar-pakar, pemegang taruh, Pertubuhan bukan kerajaan atau NGO dan aktivis-aktivis alam sekitar tidak diberi perhatian.
Walaupun Ketua Menterinya sendiri mengakui bahawa projek Penang South Reclamations atau PSR ini akan memberi kesan kepada alam sekitar, namun dengan angkuh beliau masih lagi berkeras untuk meneruskannya.

- Advertisement -

PSR yang akan diteruskan ini menjadi malapetaka kepada nelayan di Pulau Pinang secara khususnya dan menjejaskan sektor perikanan negara secara amnya. Ketika Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang berusaha keras bersama- sama pelbagai pihak menambah baik solusi untuk meningkatkan SSL ikan negara, kerajaan DAP Pulau Pinang tanpa rasa bersalah mengumumkan untuk meneruskan projek ini.

Projek PSR ini seperti yang dijelaskan oleh YB. Dato Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika itu di dalam Parlimen pada 16 Julai 2019, menjejaskan seramai 4,996 orang nelayan di Pulau Pinang. Daripada jumlah ini, seramai 1,422 orang adalah nelayan tradisional Zon ‘A’. Projek ini juga menjejaskan pendaratan perikanan tangkapan marin di Pulau Pinang sebanyak 51,184 tan metrik atau nilaiannya RM525 juta setahun akibat kemusnahan kekal ini. Ia turut memberi kesan kepada 511 penternak akuakultur ataupun ikan marin dengan pengeluaran 54,742 tan metrik yang bernilai RM1.67 bilion setahun.

Keangkuhan dan ketidak prihatinan Kerajaan DAP ini lebih terserlah apabila bantahan daripada rakan mereka dalam Pakatan Harapan juga tidak diendahkan. YB Nurul Izzah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 31 Mac telah menyarankan agar projek ini dibatalkan. Bahkan Pengerusi Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar Dan Kesihatan Pulau Pinang, YB. Dr. Hajah Norlela Bt Ariffin sendiri turut menyatakan tentangan beliau. Perkara ini diluahkan semasa perjumpaan saya bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang turut meminta agar MAFI memberi tekanan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar tidak meneruskan projek tersebut.

Saya juga berkesempatan untuk bertemu dan mendengar rintihan serta luahan daripada masyarakat dan pemimpin setempat, khususnya pemimpin masyarakat Melayu-Islam. Mereka melahirkan kebimbangan kelangsungan hidup mereka di pulau ini. Justeru persoalannya, apakah motif sebenar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang beriya-iya dan bersungguh untuk meneruskan projek ini?

DATO CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat 
10 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -