Saya rasa saya MB lagi hari ini – Dr Samsuri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Mungkinkah pembangkang berada di sebalik isu yang cuba dicetus di Terengganu dengan mendakwa kerajaan negeri di bawah PAS bergolak?

Malah baru-baru ini Setiausaha Politik Menteri Besar Muhyiddin Abdul Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita ‘malaysiadateline’.

Portal berita milik pembangkang itu pada 8 Jun lepas mengetengahkan berita “MB Terengganu tergugat, borang akujanji berkanun kini tersebar”. Difahamkan ia ada kaitan dengan seorang pemimpin pembangkang di Terengganu.

- Advertisement -

Muhyiddin berkata, kandungan laporan berita yang disiarkan laman itu bersifat fitnah, tidak benar serta berniat jahat terhadap kredibiliti Menteri Besar Terengganu.

Manakala Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika bercakap kepada media hari ini mengingatkan pihak yang melakukan fitnah ingatkan api neraka di hari akhirat kelak.

“Saya bangun pagi tadi, saya rasa.. saya MB lagi hari ini. Walaupun ada gambar 10 orang jadi Menteri Besar, setiap jam bertukar.

“Saya rasa tak timbul lagi (isu), yang lain-lain itu biar polis jalankan siasatan. Saya pun hairan. Pihak berkenaan tak ingat ‘api neraka’ ke..

“Dia buat fitnah. Saya nak seru kepada orang awam, ingat sikit buat fitnah itu api neraka ada dan… kita hidup tidak lama, mati juga akhirnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga mangsa kebakaran membabitkan pasangan warga emas di Kampung Losong Haji Su.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Wan Sukairi Wan Abdullah dan Adun Bandar Ahmad Shah Mohamed.

Menteri Besar juga berkata, beliau menyerah isu tersebut kepada pihak polis bagi melakukan siasatan lanjut.

Fitnah yang dicetus pembangkang itu turut mengundang Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim juga membuat laporan polis terhadap pihak terbabit. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -