Sasaran 150,000 tercapai, sedia tambah penyuntik vaksin

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah berjaya mencapai kadar vaksinasi harian mencecah 150,000 pada Selasa dan angka itu akan terus meningkat berikutan 16 juta dos vaksin Covid-19 bakal tiba dalam tempoh dua bulan akan datang.

Timbalan Menteri Inovasi, Sains dan Teknologi, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan sedang mengambil langkah untuk mengekalkan konsistensi suntikan harian dengan menambah lebih ramai pegawai kesihatan yang dibenarkan melakukan suntikan.

“Termasuk houseman (doktor pelatih) yang telah sampai disiplin posting ke enam, doktor yang telah bersara dan pelbagai lagi,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada Rabu.

Dalam perkembangan yang lain, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya dijalankan sejak bermula fasa pertama 26 Februari lalu, malah melepasi sasaran ditetapkan.

Muhyiddin berkata, kerajaan komited dan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur.

“Sehingga hari ini, kita telah memberikan lebih tiga juta suntikan dos vaksin, dengan lebih dua juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin Covid-19. Kini, kadar vaksinasi dos pertama Malaysia adalah antara tertinggi di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Perdana Menteri berkata, pencapaian itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan kerajaan dan Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara lain serta bergantung kepada pengeluar vaksin untuk mendapatkan bekalan.

Bagaimanapun jelas beliau, hasil persediaan awal kerajaan, negara berjaya menjamin bekalan vaksin yang mencukupi, malah melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini.

Dalam tempoh terdekat ini, beliau diberi jaminan lebih banyak bekalan vaksin akan tiba selain mengarahkan Menteri Penyelaras PIVK, Khairy Jamaluddin untuk memastikan bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) ditambah di seluruh pelusuk negara bagi mempercepat dan mempermudah pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia.

Muhyiddin turut memaklumkan, beberapa PPV mega juga diwujudkan dan jumlah itu akan terus ditambah dalam masa terdekat terutamanya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti di Lembah Klang, Johor, Penang dan Sarawak, selain dengan penambahan stok vaksin. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -