Resepi Kedah tarik pelaburan langsung asing dan domestik

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak RM43 bilion jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI) yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer diterima Kedah adalah kerana prospek masa depan disediakan negeri ini.

Pencapaian besar bagi tempoh suku pertama 2021 itu diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), semalam.

- Advertisement -

Berbanding RM5 bilion diterima bagi tempoh sama tahun lalu semasa Kedah masih di bawah teraju Pakatan Harapan pimpinan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, dapatan singkat itu sememangnya memberangsangkan.

Malah, angka tersebut jauh mengatasi catatan FDI dan DDI bagi negeri lain dikedudukan kedua hingga kelima iaitu Selangor (RM8.6 bilion), Sarawak (RM6.9 bilion), Sabah (RM5 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM4.9 bilion).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, minat para pelabur itu didorong oleh kemudahan atau infrastruktur yang sesuai di mana akan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Pelabuhan Yan.

Para pelabur juga menurutnya, diyakinkan dengan jaminan bekalan air dan tanah murah ditawarkan, selain sikap kerajaan negeri yang mesra pelabur serta politik stabil negeri ini di mana mengamalkan integriti dan kesungguhan.

Maklum Sanusi, Kedah juga mempunyai banyak taman perindustrian akan dibuka seperti Special Border Economic Zone (SBEZ) dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam serta Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.

“Dasar kita terbuka, kerja bagi cepat dan pantas, birokrasi pelik-pelik tak dak. Proses jadi cepat, tenaga, air, tanah dan environment yang sesuai dengan keperluan pelaburan.

“Pekerja mahir pun ramai dan kita ada pusat pengajian tinggi yang boleh supply pekerja mahir,” ujarnya turut optimis negeri ini membangun setanding Lembah Klang dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Sanusi turut menyatakan, kejayaan kemasukan pelaburan tersebut adalah hasil dari kerja pengurusan pasukan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri (BPEN), Kedah Invest dan agensi kerajaan.

Puji beliau, pasukan ini telah bekerja dengan cekap dan inovatif selain turut disumbangkan peranan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) yang membangunkan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER). – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -