PKP: Lebih RM150 juta diperuntuk bagi BSP 3.0

Datuk Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan edisi ketiga Bantuan Sabah Prihatin (BSP 3.0) berjumlah lebih RM154.83 juta sebagai peruntukan bagi membantu mereka yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata antara bantuan itu ialah bayaran RM300 sekali beri yang akan memanfaatkan 370,432 penerima dan akan diagih tidak lama lagi kepada kumpulan sasaran melalui lapan kementerian di negeri itu selain Pejabat Tugas-Tugas Khas dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Advertisement

“Mereka yang akan menerima bayaran itu antaranya ialah penerima e-Kasih, miskin tegar, miskin, anak yatim, warga emas, ibu tunggal, petani, orang kurang upaya (OKU), pemandu pelancong, pemandu teksi, penjaja kecil serta usahawan mikro dan kotej.

“BSP 3.0 adalah bantuan tambahan kepada RM238.36 juta yang sudah diagihkan menerusi BSP 1.0 dan BSP 2.0,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Pengurusan Keselamatan PKP oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dan melawat Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sabah (IPK) di Kepayan di sini hari ini.

Beliau berkata di bawah program bantuan itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah akan diberikan peruntukan lebih RM45.61 juta bagi membantu mereka yang memerlukan manakala Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri akan menerima lebih RM2.97 juta untuk membantu 3,325 penerima yang bergiat dalam industri pelancongan.

Hajiji berkata hotel lima dan empat bintang serta penginapan akan menerima RM5,000 manakala hotel tiga bintang dan ke bawah menerima RM2,000; penginapan bertaraf tiga, dua dan satu bintang menerima 2,000; Persatuan Penginapan RM1,000 sementara hotel yang belum mendapat penarafan menerima RM1,000 serta pengusaha pelancongan RM2,000.

“Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jabatan Hal Ehwal Wanita dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima peruntukan berjumlah RM19.33 juta dengan 64,449 penerima yang akan diuruskan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

“Kementerian Pembangunan Industri pula telah diperuntuk sejumlah RM2.88 juta bagi membantu 9,600 penerima di bawah kategori usahawan mikro dan kotej,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah memperuntuk sejumlah RM15.12 juta sebagai bantuan sekali beri kepada 16,153 penjaja kecil dan pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan.

Hajiji, yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata Kementerian Kerja Raya negeri akan turut memperuntuk RM1.15 juta untuk diagih kepada 3,855 penerima membabitkan pemandu bas, lori dan teksi serta institusi memandu dan pemandu bot selain pemohon baharu.

Sejumlah 99,902 nelayan, petani, pekebun kecil sawit (MPOB), pekebun kecil koko dan pekebun kecil di bawah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), penternak dan pekebun kecil Lembaga Kemajuan Tanah Sabah akan menerima bantuan sekali beri berjumlah RM29.97 juta daripada Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri.

“Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntuk RM500,000 bagi membantu 15,000 penerima di bawah program bantuan Prihatin Dapur Belia 4.0 Majlis Belia Sabah manakala Pejabat Tugas-Tugas Khas akan memperuntuk sebanyak RM1.5 juta sebagai bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta,” katanya. – BERNAMA