Perjuangan PAS bukan sekadar menangi pilihan raya

KUALA LUMPUR: Perjuangan PAS tidak terhenti sekadar memenangi pilihan raya serta memegang pemerintahan Putrajaya, tetapi perjuangan sebenar iaitu menuju reda Allah SWT.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perjuangan partinya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang baik dalam konteks Islam.

“Perjuangan kita jauh lagi ke depan sebab itu kita bukan tengok masyarakat kita yang susah sahaja kita tolong, tapi bagaimana kita nak jadikan supaya tidak ada manusia yang derhaka dan dimurkai oleh Allah.

Advertisement

“Bagaimana kita nak bawa negara kita kepada sebuah negara yang diredai oleh Allah SWT iaitu sebuah negara yang baik, baik dalam konteks ini bukan sepertimana negara-negara lain.

“Baik dalam konteks Islam ialah negara itu mendapat reda dan keberkatan daripada Allah SWT,” ujarnya ketika menjadi ahli panel di dalam program Bicara Harakah bertajuk Nasihat Perjuangan secara langsung di Facebook Harakahdaily, malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, pintu keberkatan bagi sesebuah negara akan terbuka luas sekiranya penduduknya beriman kepada Allah SWT.

Justeru katanya, perjuangan jauh yang dibawa PAS itu memerlukan sebuah pengorbanan yang terlalu mahal nilainya kerana dipenuhi liku dan cabaran.

“Oleh kerana perjalanan itu jauh, stamina, jiwa dan semangat kita kena kuat, periksa kesihatan, ambil vaksin, jangan tak ambil, jaga SOP  ini semua kerana jalan kita jauh.

“Kita kena kuatkan hubungan kita dengan Allah SWT kerana halangan kita terlalu banyak termasuklah ujian fitnah kerana ia berlaku sepanjang zaman.

“Para nabi pun hadapi fitnah. Fitnah ini akan tetap berlaku, cuma kita doa kepada Allah supaya Dia elak kita daripada fitnah yang kita tak mampu hadapi.

“Jadi, kita kena jaga tiga perkara ini, pertama kekuatan hubungan dengan Allah. Yang kedua kita kena jaga kekuatan jemaah kita, hadiri usrah, tamrin (latihan) dan sebagainya.

“Dan yang ketiga tidak lain dan tidak bukannya jemaah itu sendiri hendaklah menjadi suatu bangunan yang tersusun teguh yang saling membantu satu sama lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/6/2021