Maritim Kuala Perlis rampas 700 kg daun ketum

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Sebanyak 70 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum dirampas Maritim Malaysia (Zon Maritim Kuala Perlis) di persisir pantai Sungai Baharu semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, semasa rondaan dilakukan anggota mengesan beberapa bungkusan plastik hitam mencurigakan disyaki mengandungi daun ketum yang ditinggalkan di persisiran pantai.

Katanya ia dipercayai menunggu masa yang sesuai diambil menggunakan bot untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan laut.

- Advertisement -

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui 70 bungkusan plastik hitam yang mengandungi bungkusan-bungkusan kecil disyaki daun ketum seberat 700 kilogram.

“Daun ketum itu dianggar bernilai RM126,000 di mana Thailand harganya RM180 bagi sekilogram,” katanya pada kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya juga operasi Benteng Laut tersebut dilakukan hasil maklumat Cawangan Khas E6 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah mengenai sindiket menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.

Kata beliau kesemua bungkusan plastik hitam tersebut dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“Jika disabit kesalahan suspek yang ditangkap boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Mohd Shafie juga berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan sindiket pengedaran daun ketum menggunakan bot kayu dengan enjin sangkut bergalah.

“Penyeludup membawa ke perairan sempadan Malaysia-Thailand sebelum dipindah muat ke bot-bot nelayan Thailand.

“Ini adalah rampasan ketujuh membabitkan daun ketum tahun ini oleh Zon Maritim Kuala Perlis,” kata beliau.

Beliau turut mengalu-alukan aduan dan kecemasan di laut dengan menghubungi Maritim Malaysia di talian MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-985 1072 atau 04-985 1162. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -