Lagi pemimpin politik menghadap Agong hari ini

KUALA LUMPUR: Beberapa lagi pemimpin parti politik negara menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, merupakan pemimpin pertama yang tiba untuk tujuan itu pada 10.20 pagi, sebelum dilihat keluar meninggalkan Istana Negara pada 11.35 pagi.

Advertisement

Beliau disusuli Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan yang tiba pada 11.55 pagi dan dilihat keluar pada 12.50 tengah hari.

Difahamkan pada sebelah petang giliran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada 2.30 petang, diikuti Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 4 petang.

Pemimpin parti-parti politik termasuk pembangkang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berperingkat bermula semalam, dan bagi pemimpin parti-parti politik di Sarawak, majlis menghadap diadakan secara dalam talian yang dijadualkan pada 14 Jun.

Majlis menghadap bermula dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Secara kebiasaannya, beliau selaku ketua kerajaan akan menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada setiap Rabu, bagi menyembah maklum perkembangan pentadbiran negara.

Selepas Muhyiddin, tiba giliran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, diikuti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan disusuli Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mengakhiri sesi semalam. – BERNAMA