Kerajaan perlu tegas, golongan tolak Institusi Raja makin bebas

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kerajaan digesa agar bertindak tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang sengaja menimbulkan kontroversi sama ada menghina atau menghasut menolak Institusi Diraja di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya ketika dihubungi berkata, gerakan sebegitu sudah lama bergerak bebas di media sosial yang sememangnya bermatlamat agar rakyat hilang kepercayaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Golongan ini dilihat sengaja membina fahaman agar negara ini lebih selamat tanpa sistem beraja dengan cuba menghilangkan keyakinan rakyat terhadap Yang di-Pertuan Agong, lebih tepat untuk membawa agenda mengubah negara kepada sistem republik,” jelas beliau.

Advertisement

Menurutnya lagi, Yang di-Pertuan Agong merupakan payung negara di mana antara fungsinya menjaga kestabilan negara, agama dan bangsa Melayu.

Berikutan itu kata Ahmad dalam keadaan negara menghadapi pandemik Covid-19 selain suasana politik yang kurang stabil, Institusi Diraja amat diperlukan dan dikekalkan.

Selain itu, ujarnya ia juga tiang seri dan teras kepada agama Islam di negara ini yang perlu dipertahankan sebaik-baiknya.

“Kita lihat sekarang, serangan terhadap agama Islam semakin menjadi-jadi. Sekiranya tiang seri itu tergugat kemungkinan teras kepada negara juga akan goyang.

“Teras kepada umat Islam iaitu Al-Quran, hadis dan para ulama dan raja menjadi tiang kepada teras ini,” ulas Ahli Dewan Negara itu lagi.

Tambahnya perancangan yang dibuat bukan sahaja serampang dua mata malah lebih daripada tiga mata untuk memastikan matlamat mewujudkan negara republik berjaya.

Itu sebab ujarnya, Islam dan bangsa Melayu juga menjadi sasaran untuk dilemahkan agar matlamat mereka menjadi kenyataan.

“Sebenarnya gerakan ini bergerak aktif sewaktu negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, malah agresif dan terbuka sebab PH pun suka serta bersetuju dengan perkara seumpama itu.

“Tetapi apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Malaysia, hal sebegitu kita tidak boleh diterima kerana ia jelas mencipta kekacauan dalam negara,” sambung Ahmad lagi.

Seperkara lagi katanya, golongan ini dilihat cuba menimbul suasana kononnya negara di dalam keadaan tidak stabil sedangkan hakikatnya rakyat tiada menghadapi apa-apa masalah.

Oleh itu beliau mengharapkan agar semua lapisan masyarakat bersatu mempertahankan Institusi Beraja yang menjadi payung kepada negara, agama dan bangsa Melayu.

“Lebih penting lagi untuk keselamatan negara yang kita kasihi ini,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/6/2021