Oleh BADURA BAKRI
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM10,000 kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi melaksanakan program Jejak Amal Covid-19 Komuniti (JACK).
Anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, peruntukan itu disalur melalui Pusat Khidmat Dun dan diagihkan bermula bulan ini.
Katanya, golongan asnaf yang terkesan diberi keutamaan akibat penularan wabak Covid-19 yang bermula Ramadan baru-baru ini.
“Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun ke seluruh jajahan mengagihkan bakul makanan kepada penerima-penerima bantuan JKM.
“Dan ketika PKP 3.0 sekarang pula golongan terjejas bukan asnaf yang mendapat kerajaan melalui JKM sebelum ini,” katanya pada Taklimat Jejak Amal Covid-19 Komuniti menerusi Zoom di sini baru-baru ini.
Menurutnya juga program Jejak Amal Covid19 Komuniti bagi memastikan golongan penduduk yang terjejas mendapat perhatian kerajaan.
Mumtaz juga berkata, bantuan bulanan yang disalur melalui JKM sebelum ini termasuk Bantuan Kanak-kanak (BKK), bantuan orang tua, bantuan one-off armalah.
Selain itu bantuan anak yatim, bantuan elaun pekerja cacat (EPC), bantuan tidak bekerja dan bantuan am.
Manakala bantuan MAIK pula disampaikan melalui imam-imam kepada penerima dalam kalangan asnaf di kampung-kampung.
Sementara itu Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Waita (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki berkata, seramai 200 penerima bantuan menerima manfaat program itu di setiap Dun.
Katanya golongan terbabit termasuk penduduk yang tidak dapat bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hilang pekerjaan atau dihentikan kerja. – HARAKAHDAILY 10/6/2021