Institusi Raja Melayu penyelamat kemelut politik

- Advertisement -

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Pembangkang mengeksploit sepenuhnya ruang berikutan Yang di-Pertuan Agong memanggil mengadap setiap wakil-wakil parti politik yang bermula semalam.

Difahamkan ada yang mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti yang pernah dilaksanakan kerajaan Perikatan ekoran peristiwa 13 Mei 1969.

Melalui kaedah itu membolehkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh mentadbir negara.

Sedangkan apa yang berlaku sekarang jauh berbeza dengan situasi rusuhan kaum ketika 13 Mei, sebaliknya hari ini hanya darurat kesihatan yang memerlukan kerajaan memberi perhatian serius menanganinya.

Jelas situasi yang berlaku itu memperlihatkan institusi Raja-raja Melayu menjadi benteng terakhir rakyat negara ini.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata sejarah membuktikan Raja-Raja Melayu menjadi benteng menghalang imperialis Barat melakukan penjajahan mutlak ke atas Tanah Melayu.

“Begitu juga kemelut yang berlaku dalam negara pada akhir Februari tahun lepas, di mana institusi Raja Melayu yang menjadi penyelamat.

“Jika tidak, pilihanraya mesti dilakukan bagi memilih peneraju negara yang baru, sedangkan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang boleh mendatangkan masalah lebih besar,” katanya di sini.

Ketika krisis melanda kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sanggup mencemar duli bertemu 222 ahli Parlimen secara berasingan.

Krisis politik berlaku selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ekoran desakan berterusan PKR supaya ditetapkan tarikh peralihan kuasa.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, penelitian mendalam dan cermat baginda serta nasihat Majlis Raja-raja Melayu, akhirnya keputusan dibuat melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri baharu.

“Begitu juga cadangan proklamasi darurat dikemukakan Perdana Menteri selepas dipersetujui kabinet demi mendepani gelombang ketiga pandemik koronavirus yang mencatatkan kes tinggi pada Oktober 2020.

“Dalam konteks itu kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sekali lagi terbukti apabila membuat satu keputusan bersifat ‘menang-menang’ demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -